Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Hutang Merosak Hubungan Dengan Allah ?

Hutang Merosak Hubungan Dengan Allah ?

  • PDF
(0 votes, average 0 out of 5)

 

Soal jawab hutang

Oleh : Ustaz Dr.Zaharuddin Abd Rahman (Presiden MURSHID)

 debt

1) Apa hukum berhutang dalam Islam? Ada setengah berhutang yang menjadi satu keperluan seperti membeli rumah kediaman sebagai tempat berlindung dan kereta untuk memudahkan pergerakan. Apakah hukum bagi perkara yang menjadi keperluan sebegini?

Hutang asal berhutang adalah harus di dalam Islam, ia berdasarkan keharusan yang disebut oleh Allah swt dalam ayat 282 yang ertinya :

“Wahai orang yang beriman, apabila kamu berbelian secara hutang yang ditentukan pembayaran (atau penghantaran) pada suatu tarikh tertentu, hendaklah kamu menulisnya…” (Al-Baqarah 282)

Bersumber dari ayat ini jelas menunjukkan Allah swt mengiktiraf penjualan secara hutang dan termasuk juga pembelian secara berhutang dengan syarat ia ditulis bagi mengelakkan kelupaan atau penipuan. Paa ulama Islam majoritinya bersetuju bahawa menulis dokumen hutang itu tidaklah sampai ke tahap wajib namun sunat sahaja. Pun begitu, di zaman kita yang banyaknya berlaku penipuan dan kelupaan secara sengaja, dokumen bertulis yang ditandatangani kedua pihak adalah paling baik khususnya melibatkan jumlah yang besar.

2) Bagaimanapun, ada yang memilih untuk berhutang kerana ingin memenuhi kepuasan diri. Contohnya sanggup berhutang untuk membeli telefon pintar yang diluar kemampuan, perabot baharu dan pakaian berjenama. Bagaimana pandangan Islam mengenainya?

Walaupun hukum asalnya adalah harus, hukukmnya boleh berubah menjadi wajib, haram, makruh dan sunat berdasarkan keadaan peminjam. Jika dia benar-benar dalam kesusahan dan berada di dalam bahaya terhadap nyawanya jika tidak meminjam, maka berhutang menjadi wajib bagi mengjaga nyawanya. Malah baginda Nabi Muhammad saw sendiri pernah berhutang tatkala membeli makanan dari seorang peniaga Yahudi, baginda turut mencagarkan baju besinya. Ini terdapat di dalam hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari.

Aktiviti berhutang tanpa sebab kukuh ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan, ia seperti berikut :-

a) KAD KREDIT : -Jauhkan diri dari menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakan hutang secara berlebihan. Malah jika seseorang ingin menggunakannya, adalah amat di nasihatkan agar digunakan untuk memudahkan urusan di saat-saat yang benar-benar terdesak. Selain itu, adalah lebih baik juga menggunakan "Charge Card" atau "Debit Card" sahaja. Jauhkan diri dari ketagihan penggunaan kad kredit.

b) PINJAMAN PERIBADI : Ini satu lagi jenis produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Pelru di sedari bahawa seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah di haramkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma, hari ini, terdapat beberapa Bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan Pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam. Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep "bai inah" ( jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat konterversi dan di tolak oleh kebanyakan ulama timur tengah, bagaimanapun ianya di terima oleh ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang di kenakan adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak juga perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

c) PERUMAHAN DAN KERETA : dua item ini mungkin keperluan yang asas bagi kebanyakkan individu. Bagi saya, seeloknya, hutang peribadi kita eloknya di hadkan kepada dua jenis ini sahaja. Itupun , mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama dunia.

d) UMRAH DAN HAJI SUNAT (KALI KEDUA): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami ‘priority' atau "awlawiyyat" di dalam pengendalian wang peribadi. Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukan untuk ke umrah dan Haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya untuk disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun-timbun itu. Malangnya, ketidak fahaman kebanyakan umat islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.

3) Benarkah orang yang hidupnya dibelenggu hutang keliling pinggang tidak diredhai Allah. Mohon pencerahan.

Jika peminjaman dibuat secara menurut nafsu, hingga jauh melebihi kemampuan serta tiad apula perancangan rapi akan cara menyelesaikannya, hutang tersebut boleh menjatuhkan seseorang itu kepada kehinaan, tidak tenang, kerisauan berpanjangan dan banyak lagi masalah kerohanian. Nabi SAW bersabda :-

يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين

Ertinya : “ Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)” ( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi SAW :

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Rasulullah SAW juga menjawab apa bentuk dosa yang kerap berlaku akibat berhutang, ini pasti akhirnya membawa hilangnya redha Allah dari kehidupan. Sahabat-sahabat nabi bertanya dan bacalah jawapan baginda :

فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"

Ertinya : ..Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

4) Hutang sudah menjadi antara penyakit yang menakutkan bagi umat Islam. Apatah lagi hingga ramai orang muda terutamanya yang muflis kerana dibelenggu hutang. Ada yang memberi alasan kesempitan hidup. Bagaimana pandangan ustaz?

Ada beberapa perkara yang boleh saya simpulkan dalam hal ini iaitu :-

  1. Kekurangan ilmu pengurusan wang diri dan aliran tunai. Kelemehaan ini menyebabkan seseorang sesuka hati nberbelanja tanpa prihatin tentang kemampuan kewangan diri.
  2. Terlalu melayan nafsu dan trend orang sekeliling, sewajarnya belajar rasa puas dengan apa yang ada dan mengekang amalan membandingkan apa yang dipunyai dengan orang lain. Nabi mengajar kita agar dalam urusan keduniaan untuk membandingkan diri dengan orang yang memiliki kurang dari pada kita agar nafsu berbelanja dapat dikawal serta lebih mudah rasa syukur atas apa yang telah diperolehi.
  3. Kemalasan diri, cepat putus asa serta sikap hangat tahi ayam dalam usaha mendapatkan pendapatan turut menjadi punca kepada hutang tidak berbayar. Ini menjadikan seseorang mudah berhutang tetapi malas dan mahu cepat mendapat untung, akhirnya gagal serta sebahagiannya ditipu. Akhirnya hutang yang telah dibuat langsung tidak mampu dibayar.
  4. Tiad lagi sensitivity terhadpa halal haram dalam kerjaya dan pendapatan serta pelaburan, ini menjadikan harta yang diperoleh kurang atau tiada berkat, tanpa keberkatan ia akan membawa kepada kehidupan yang sempit material dan rohani, ada sebahagian mungkin tidak sempit wangnya, tetapi sempit jiwa dan dicabut ketenangan dari hidupnya.

5) Mungkin ustaz ada tips bagi mereka yang ingin bebas daripada bebanan hutang.

Ada beberapa cara iaitu ;-

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين )

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, " ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain :

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Albani : Dhoif )

Satu doa yang sangat sesuai diamalkan oleh semua khususnya sewaktu tenggelam dalam hutang dan sangat sukar pula untuk mampu membayarnya.

اللَّهُمَّ اكْفِني بِحَلالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأغْنِني بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِواكَ

Ertinya : Ya Allah, cukupkanlah keperluanku berupa yang Engkau halalkan daripada mengambil yang Engkau haramkan dan kayakan hatiku dengan kurnia-Mu daripada (mengharapkan) orang selain Engkau. ( Riwayat Tirmidzi & Ahmad : Hadis Sahih)

Faedah : Dibaca doa ini di ketika tidak mampu langsai hutang walaupun hutang sebesar gunung, Insha allah akan dibantu Allah. Juga yang penting, agar Allah membantu kita agar tidak teruja mencari jalan keluar dari sumber yang haram. Pun begitu, sekadar berdoa tanpa usaha tidak akan membuahkan apa-apa, perlu terus berusaha dan bersusah payah untuk maju ke hadapan.

  1. Membayar hutang secara berdisplin sejurus mendpat pendapatan, sebelum belanja lain dilakukan.
  2. Mengehadkan pembelian secara berhutang ketika membeli makanan asasi, bayarlah secara tunai. Hadkan berhutang dalam pembelian barangan mahal yang perlu sahaja.
  3. Jauhinya sejauhnya dari meminjam dari ah long dan perbankan konvensional kerana kiraan bunga faedahnya adalah bersifat berganda (compounding) yang sangat membebankan setiap kali gagal membayar pada waktunya.
  4. Jangan membuat hutang baru selagi beberapa hutang lama terhadap item yang sama belum selesai.
  5. Jangan membuat hutang baru sejurus dapat kenaikan gaji atau pangkat atau bonus, sebaliknya selesaikaan sebahagian hutang yang tidak berstruktur terlebih dahulu, manakala hutang berstruktur dengan pihak bank, boleh dibayar berdasarkan jumlah yang telah ditetapkan.

6) Hukum bermain kutu dalam Islam. Ada yang meletakkan sasaran untuk melangsaikan hutang dengan bermain kutu. Contoh, untuk bayar insurans kereta hujung tahun, main kutu sejak awal tahun dengan sasaran membayar hutang. Pandangan islam mengenainya.

Sebelum saya menghuraikan hukumnya pada sudut pandangan Islam, terlebih dahulu ada baiknya kita melihat tafsiran 'kutu' menurut AKTA 28 AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971 , ia ditafsirkan sebagai :

"kumpulan wang kutu" ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine

Setelah meneliti akta yang berkaitan, jelas termaktub seperti berikut :-

Seksyen 3. Salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu.

Maka adalah salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Justeru, amat jelas lagi bersuluh kegiatan skim simpanan kutu ini adalah salah dan tidak dibenarkan di sisi undang-undang.

Untuk menentukan hukum Shariah adalah amat mudah dalam hal yang telah diputuskan 'salah' oleh undang-undang negara. Selagi mana peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-hadis, ia akan diiktiraf sebagai haram juga di sisi Shariah.

Namun jika anda ingin memahaminya skim kutu ini dari sudut proses dan caranya , sama ada ia diterima oleh Shariah atau tidak. Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim 'kutu' ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan 'kutu' ini adalah harus. ( Namun keharusan ini telah dibataskan oleh akta wang kutu di atas tadi)

Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran 'In advance' ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan.

Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.

Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi mempastikan kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar.

Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.

Kesimpulannya, skim 'kutu' antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.

Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus. Antara hujjah saya adalah seperti berikut :-

Pertama : Keharusan kaedah :-

أسلفني وأسلفك

Ertinya : "Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak" (Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)

Menurut mazhab Maliki, konsep ini dianggap makruh apabila ia memberikan manfaat kepada yang pemberi hutang lalu ia haram, tetapi jika manfaat diperolehi oleh peminjam ia adalah harus.

Namun dalam bab ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan. Inilah yang diperolehi dari skim 'kutu' ini.

Kedua : Tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.

Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.

Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan. Ia juga boleh dilihat dalam isu ‘Suftajah'. Demikian menurut pendapat Ibn Qudamah, Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim. Malah diperjelaskan lagi oleh Prof. Dr Nazih Hammad (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 230)

Ketiga : Riba diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.

Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.

Ibn Qayyim berkata :-

والشارع نهي عن الربا لما فيه من الظلم

Ertinya : "Shariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya" ('I'lam al-Muwaqqi'en, 1/386)

Adapun persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tiada terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231)

Justeru, menggunakan system kutu untuk melangsaikan hutang adalah harus namun perlu dipatuhi syarat-syarat tadi dan perlu diingat, sewaktu sampai giliran kita mendapat wang terkumpul, ia memang amat manis, namun selepas itu, ada kemungkinan seseorang yang telah menerima habuannya akan liat pula menyumbangkan. Tatkala itu, ia akan menjadi masalah dan jatuh ke dalam haram pula. Atas sebab itulahm diingatkan agar dipastikan hanya individu terpecaya memasuki kumpulan kutu dan jumlahnya juga adalah terhad dan kecil sahaja.

 

Sekian

 

Dr Zaharuddin Abd Rahman

12 Feb 2017



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 13 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Hutang Merosak Hubungan Dengan Allah ?