Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Pendakwah, Ustaz dan Memberi Hukum
  • PDF
(3 votes, average 3.67 out of 5)

 

Pendakwah, Ustaz & Memberi Hukum

Oleh

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

fatwa_picture

Pengeluaran fatwa, pandangan dan panduan hukum khususnya di dalam perkara baru ata persoalan yang timbul di dalam masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah, malah ia teramat berat dan bakal dipertanggungkan bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Justeru, suatu teknik dan kefahaman jelas perihal teknik dan metodologi penyelidikan mesti dimahiri oleh mereka yang terlibat atau ingin terlibat di dalam bidang ini. Bagi ahli fiqh dan dakwah mereka tidak boleh alpa dan lalai dalam memahami ulum hadith dan fiqahnya, manakala bagi mereka yang mendalami ilmu hadith tanpa fiqah, Imam Sufyan Uyainah berkata :

لو كان الأمر بيدنا لضربنا بالجريد كل محدث لا يشتغل بالفقه وكل فقيه لا يشتغل بالحديث

Ertinya: Jikalau ada kuasa di tangan kami, nescaya kami akan pukul dengan rotan (ranting) setiap ahli hadith yang tidak mempelajari Fiqah dan setiap ahli Fiqah (Faqih) yang tidak mempelajari hadith. (Kaifa Nata’mal Ma’a Al-Sunnah, Al-Qaradawi, hlm70)

 

Imam Abu Hanifah berkata

لم تزل الناس في صلاح مادام فيهم من يطلب الحديث فإذا طلبوا العلم بلا حديث فسدوا

Ertinya: Sentiasa manusia berada dalam keadaan baik selagimana wujud di kalangan mereka yang mencari (mempelajari) hadis, apabila mereka mempelajri ilmu tanpa hadis, mereka pasti akan rosak.

 

Imam As-Shafi’i berkata : 

أيّ أرض تقلني إذا رويت عن النبي صلى الله عليه وسلم حديثاً وقلتُ بغيره

Ertinya: Manakah bumi yang bolehku berteduh padanya apabila aku meriwayatkan dari Nabi sallallahu alaihi wasallam satu hadis sedang aku berkata selain darinya. [1]

 

Imam Ahmad berkata:

ظهرت بدع فمن لم يكن عنده حديث وقع فيها

Ertinya: Tersebarnya bid’ah, barangsiapa yang tiada padanya hadis lalu pasti akan terjebak dalamnya. (Manaqib Al-Imam Ahmad, Ibn Jawzi, hlm 182) 

 

Iman dan akhlaq mulia merupakan aspek dalaman utama yang mesti diperkukuh secara berterusan. Ini kerana, Iman itu bukanlah dengan angan-angan tetapi Iman ialah apa yang tersemat di hati dan dibuktikan dengan amalan dan usaha seseorang. Iman yang mantap akan membuahkan akhlak mulia yang bermanfaat kepada diri dan orang lain. Begitu juga, hukum dan fatwa merupakan buah yang terhasil daripada penyelidikan yang mendalam berasaskan aspek dalaman seseorang dalam melaksanakan penyelidikan. Antara aspek dalaman yang menjadi asas kepada penyelidikan hukum dan fatwa adalah seperti berikut:

 

1. Ikhlas

Mempunyai niat yang ikhlas untuk mendapat redha Allah SWT.

 

2. Tiada sentimen yang mempengaruhi keadilan kajian.

Penyelidikan dan kajian dilakukan dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan yang negatif seperti; marah, jemu, terlalu gembira, didesak oleh golongan yang berkepentingan, atau apa-apa juga keadaan yang menyebabkan pengkaji tidak dapat menumpukan perhatian kerana hati dan fikirannya terganggu. Seseorang itu tidak harus memberi hukum atau fatwa semata-mata kerana tamakkan harta atau kemegahan, kemarahan, dan tidak juga kerana takutkan pihak berkuasa.

Inilah yang pernah ditegaskan oleh Imam Ibnu Solah dengan katanya:

وينبغي أن يكون ( أي المفتي ) كالراوي في أنه لا يؤثر فيه قرابة وعداوة ، وجر نفع ودفع ضر

Ertinya : Hendaklah mufti (yang mengeluarkan fatwa itu) seperti perawi (hadis) yang tidak terkesan olehnya kaum kerabat dan permusuhan, mestilah hanya untuk membawa kemanfaatan dan menolak kemudaratan.

 

3. Lapang dada dan hati untuk pindaan dan revisi fatwa

 

Bersedia untuk تراجع (Menarik balik hukum/fatwa) dan bersedia untuk melakukan semakan semula ke atas hukum/fatwa yang dibuat.

 

Berilmu, berlapang dada, tenang dan tegas. Keperluan terhadap ilmu adalah jelas iaitu sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu akan mendapat siksaan Allah. Manakala, sikap berlapang dada membolehkan kita untuk mengkaji semula hukum atau fatwa yang dinyatakan serta menarik semula hukum atau fatwa tersebut jika berlaku kesilapan.

Semakan semula fatwa ini adalah perkara biasa dalam dunia ilmiah para ulama Islam sejak zaman silam.Imam Ibn Qayyim berkata :-

لا يمنعنك قضاء قضيت فيه اليوم فراجعت فيه رأيك , فهديت فيه لرشدك أن تراجع فيه الحق , فإن الحق قديم لا يبطله شيء ومراجعة الحق خير

Ertinya : Tidak sesekali terhalang sesuatu keputusan ( fatwa) yang telah kamu putuskan hari ini maka ingin kamu nilaikannya semula, berpandukan ilmu kewarasan dan (maklumat baru) maka kamu kembali kepada kebenaran, sesungguhnya kebenaran itu telah lama (wujud) dan tidak sesekali dibatalkan oleh sesuatu apapun, dan pengembalian kepada kebenaran adalah amat baik " (I’lam al-Muwaqqien, 1/69)

 

4. Insaf (adil serta tidak emosi) dalam teks fatwa atau pandangan hukum.

Ertinya, mestilah tiada sebarang bentuk provokasi, memperlekehkan pandangan seseorang yang lain di dalam teks pandangan hukum yang dikeluarkan. Ia dikeluarkan dalam bentuk penuh adab, ilmiah dan bertujuan kebaikan untuk semua pembaca dan masyarakat.

 

5. Pengambilan Sumber Dan Amanah Ilmu

Para ilmuwan, pengkaji, pendakwah dan penyelidik mestilah amanah dalam menyatakan sumber maklumat yang diambil dengan meletakkan nota kaki atau sebarang bentuk penyataan sumber. Ini penting bagi membolehkan para pembaca melihat dan merujuk sumber asal, selain menjadikan kita seorang yang amanah dalam menyandarkan sumber pandangan kepada pemiliknya.

 

Lebih penting dari itu adalah tegahan untuk memotong sesuatu pandangan di luar konteksnya, samada mengambilnya sebagai sokongan atau bantahan kepada sesuatu pandangan. Ia bukan sahaja merosakkan amanh ilmu, bahkan memabawa dosa fitnah dan menrosakkan kredibiliti penyelidik sendiri.

 

6. Keperluan Proses Tarjih (ترجيح)

Tidaklah tepat bagi seorang ulama apabila ditanay suatu soalan dan mendapati terdapatnya khilaf lalu memberi jawapan seolah memberi penanya untuk membuat keputusan sendiri. Ia seperti memberi individu yang tidak berkelayakan untuk melakukan tarjih tanpa ilmu.

 

Justeru, ilmuwan perlu membantu dengan memandu penanya kepada pilihan yang terbaik menurut ilmu dan tarjihnya sendiri. Ulama berbeza ijtihad dalam menentukan hukum beramal dengan yang rajih kepada dua kumpulan namun majoriti mazhab berpendapat beramal dengan yang rajih serta meninggal pendapat marjuh adalah WAJIB. Malah terdapat Ijma’ di kalangan para ulama Usul fiqh (Nihayatul Sul, 3/212 ; Al-Mahsul, Al-Razi, 2/529 ; Kasyf al-Asrar, 4/76).

 

Berkata As-Syawkani tentang wajib beramal dengan yang rajih ini dengan katanya:

وهذا متفق عليه ولم يخالف في ذلك إلا من يعتد به

Ertinya: Ini disepakati padanya dan tiada yang bercanggah dengan keperluan ini kecuali yang tidak diambil kira pendapatnya.( Irsyad al-Fuhul, hlm 276)

 

7. Fiqh Taysir Di Zaman Lemahnya Iman Manusia ( فقه التيسير)

Memahami kemudahan dan keringan yang diperuntukan di dalam hukum Islam adalah penting hari ini, ia bukan mengajar memudah-mudahkan (tasahul) sesuatu hukum tetapi memberikan kemudahan secara hikmah.

 

Tasahul merujuk kepada mengambil mudah sesuatu kajian dalam menentukan hukum sehingga begitu cepat dan tergesa-gesa mengeluarkan hukum dan fatwa sebelum kajian sebaiknya. Manakala taysir adalah keringan yang diberikan oleh seseorang individu ulama yang amanah setelah kajian terpeirnci dilakukannya.

 

8. Lihat Kepada Audiens Dan Kesediaan Ilmu Masyarakat

Seseorang penyelidik, ilmuwan dan pendakwah perlulah mengkaji keadaan masyarakat, turun dan melihat sendiri kedaan mereka, menyedari taraf keilmuan mereka dan menyampaikan ilmu kepada mereka menurut laras bahasa yang mampu difahami oleh majority mereka sebagaimana seorang Rasul itu juga turut diutuskan dengan menyampaikan dakwah menurut bahasa kaumnya. Jangan mula membicarakan hal yang belum mampu difahami sebelum sampai masanya, kelak nanti menjadi fitnah kepada Islam dan masyarakat. Justeru proses beransur atau tadarruj itu sangat perlu difahami oleh ilmuwan.

 

9. Pertimbangkan Kesan Kepada Masyarakat.

 

Sebarang jenis kajian perlu mengambil kira kesan kejutannya kepada masyarakat, perlu menimbang dan bersedia dengan alternatif terlebih dahulu. Jangan sampai membiarkan ummat terpinga-pinga dan panik tanpa sebarang jalan keluar.

 

Oleh itu, jangan juga tergesa-gesa mendedahkan sesuatu sebelum sampai waktunya, logika ini bukan sahaja diterima aqal biasa, malah juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang disepakati yang berbunyi :

مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئاً قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

Ertinya : Barangsiapa yang tergesa-gesa dalam sesuatu sebelum sampai tempohnya, nescaya akibatnya adalah terhalang terus dari mendapatkannya (Al-Ashbah Wa An-Nazair, As-Sayuti, hlm 195)

Lihat bagaimana Umar al-Khattab meminta sahabat lain untuk menceraikan isteri ahli kitab yang dikahwininya kerana bimbangkan ia ditiru oleh yang lain lalu mengakibatkan wanita muslimah tidak mendapat pasangan keran kurang menarik wajahnya berbanding wanita eropah. Demikian juga petunjuk yang diberikan oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

لَوْلَا أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيثُو عَهْدٍ بِالْجَاهِلِيَّةِ لَهَدَمْتُ الْكَعْبَةَ وَجَعَلْتُ لَهَا بَابَيْنِ

Ertinya: “Wahai ‘Aisyah, kalaulah bukan disebabkan kaummu masih baru (dengan Islam), nescaya aku akan robohkan (mengubahsuai) Kaabah ini dan aku jadikan padanya dua buah pintu; pintu masuk dan keluar.” (Riwayat at-Tirmizi : Hasan Sohih)

 

10. Fenomena Perbezaan Ijtihad

Ada yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam satu-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang aqidah, lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut nafsu dan kehendak mereka sendiri, puak ini bukan sahaja menuduh dengan tuduhan sedemikian, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan mengatakan ulama ini telah mencabuli hak Allah yang boleh menetapkan hukum.

 

Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku. Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai 'ingin jadi tuhan' kerana mengharamkan sesuatu.

 

Memang benar, dalam Islam, seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan RasulNya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuan Islam sama sekali TIDAK boleh mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan nafsu dan selera mereka, malah mereka hanya menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-lain.

Selain itu, sebahagian kumpulan manusia yang lain pula keliru dan lebih suka mencela para ilmuan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca ilmuwan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.

 

Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia sudah pun bermula ketika hayat baginda nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam lagi. Terlalu banyak sebab dan punca kepada perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya. Ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai mengendalikannya.

 

11. Jangan tergesa-gesa

Jangan kita tergesa memberi pandangan yang dinisbahkan kepad ahukum Islam jika belum dirujuk terlebih dahulu kepada kitab-kitab yang sesuai atau pandangan ulama yang ahlinya. Ramai pendakwah yang apabila popular yang tergelincir dalam memberi pandangan yang sama ada salah atau kurang tepat kepada soalan yang dikemukakan. Sebahagian mungkin memaksa diri untuk memberi jawapan kerana bimbang akan dipandang kurang berilmu lantaran kegagalan memberikan jawapan segera.

 

Ibn Umar r.a berkata :

العلم ثلاثة كتاب ناطق وسنة ماضية ولا أدري

Ertinya : Ilmu itu ada tiga bahagian, Kitab AL-Quran yang berkata, Sunnah Nabi yang lalu dan aku tidak tahu. (Riwayat At-Tabrani dalam al-Aswat; Rujuk Majma’ Al-Zawaid)

Sangat baik lagi amanah seorang ilmuwan dan endakwah menangguhkan jawapan terlebih dahulu agar mampu membuat kajian sebaiknya sebelum memberi respons. Dan salah satu jawapan apabila kita belum bersedia adalah ‘aku tidak tahu’.

 

Lihat sahaja Imam Malik Bin Anas apabila didatangi seorang lelaki yang meminta fatwa berkenaan lafaz ta’liqnya yang akan menceraikan isterinya jika ada dosa yang lebih besar dari minum arak. Maka Imam Malik mengarahkan untuk balik dahulu agar beliau dapat melakukan kajian. Hanya abeberapa hari selepas itu barulah Imam Malik meberikan jawapannya. (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)

 

12. Elakkan memberi pandangan sebelum mendapat gambaran jelas.

 

Disebutkan dalam satu keadah:

 

الحكم علي شيء فرع عن تصوره

Ertinya : Asas dalam memberi hukum ke atas sesuatu, cabangnya adalah terlebih dahulu mesti mempunyai gambaran (menyeluruh).

 

Kaedah ini lahir dari firman Allah

 

ولا تقف ما ليس لك به علم

Ertinya : Janganlah kamu duduk (berpegang) kepada sesuatu yang kamu tidak punyai ilmu padanya. (Al-Isra : 36 )

 

Demikian beberapa panduan ringkas tanggungjawab seorang ilmuwan dan pendakwah sama ada tergolong dalam kategori terkenal atau tidak. Tanggungjawab mereka adalah sama dan berat di sisi Allah swt. Ketelitian adalah dituntut sepanjang masa dan kesilapan adakalanya sukar dielakkan namun pembetulan sentiasa diperlukan apabila ia berlaku.

 

Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
9 Nov 2013

[1] Dinukil oleh Sheikh Al-Subki dalam penjelasan terhadap erti “apabila sahih hadis itu mazhabku’



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 13 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Pendakwah, Ustaz dan Memberi Hukum