Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Pandangan Ilmuan & Pendakwah Terhadap Bajet 2012
  • PDF
(70 votes, average 4.31 out of 5)

 

Pandangan Ilmuan & Pendakwah Islam

Terhadap Bajet 2012

Oleh

Peserta Liqa Ilmuan Islam


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.

Kami sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair dengan ini sukacita untuk berkongsi sedikit respon kami terhadap bajet 2012 yang baru dibentangkan Jumaat. Dengan status sebahagian besar kami yang kerap diajukan soalan berkaitan kehidupan dari pelbagai aspek khususnya menurut perspektif  agama, kami merasa tanggungjawab untuk menyumbang sedikit idea dan ilmu, oleh itu kami duduk mengadakan pertemuan di antara ilmuan dan beberapa pendakwah yang berkesempatan bagi membincangkan BAJET 2012 walau mengakui kami tidak mempunyai angka-angka lengkap dan terperinci berkait pembangunan ekonomi negara. Pun begitu, itu tidaklah menghalang kami dari memberikan respon dari angka-angka dan cadangan yang termaktub di dalam buku bajet 2012 beserta lampirannya.

LIQA1

liqa1_rumah

Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.

Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.

Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion  bagi hujung tahun ini.

Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله 

Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 ) 

 

Juga sabda baginda:-

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف 

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 ) 

 

Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan  di antara beberapa peserta pertemuan  ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.


belanjawan-kerajaan-2012

Secara ringkas dan mudah, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-

A) Sokongan sepenuhnya

Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-

  1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
  2. Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna’, murabahah, ijarah.
  3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
  4. Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
  5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
  6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
  7. Pertukaran gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pada kadar 7-13 peratus.
  8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
  9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
  10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
  11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
  12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
  13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
  14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
  15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
  16. Naik pencen 2 peratus setahun.
  17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
  18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu, untuk itu bajet sebanyak RM 15 juta diperuntukan.
  19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
  20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai  pesakit  luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
  21. Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
  22. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
  23. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
  24. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.

positif_2_bajet_2012

B) Sokongan dan nota perhatian

Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-

  1. Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hibrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui sistem ‘tekonologi hijau’, selain itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran ‘carbon emission’ berlebihan kepada persekitaran.
  2. Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias untuk menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
  3. Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000, dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu, pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung penjual untuk menaikkan harga rumah lalu  menambahkan risiko kemampuan peluang golongan ini memperolehi rumah, hal ini memerlukan pantaun sewajarnya.
  4. Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan ‘micro credit’, namun diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
  5. Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan..
  6. Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat sepertinya.
  7. SME ‘revitalization fund’ untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
  8. Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerajaan mengkaji dan merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada kakitangan awam. Selain itu, pihak kami juga menegaskan bahawa agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, hal ini tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
  9. Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan syarikat konsortium ke atas pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah bertambah baik jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.
  10. KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja (jika belum ada)

bajet_deficit

 

C) Komentar umum

Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-

  1. Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerjaaan untuk meminjam dengan faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang sebelum ini yang ‘outstanding’ pasti akan semakin menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
  2. Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet ini sepatutnya memberi perhatian dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
  3. Memberikan galakan kepada industri Kewangan Islam agar melalui pengecualian cukai bagi pemberian pembiayaan melalui konsep mudarabah dan musharakah ( equity financing) agar ia mula bertapak dengan lebih pantas berbanding lambakan 'debt financing' hari ini. Kita mengharapkan perbankan Islam ini mampu mencapai paling kurang kadar 5 peratus pembiayaan melalui sistem 'profit and loss sharing' ini. 
  4. Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat (bukan kerajaan) tiada disebut dan kelihatan terabai.
  5. Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
  6. Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
  7. Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali ‘import tax’ untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
  8. Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
  9. Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga 10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan negara sedang Negara di dalam kedaaan defisit, kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun sahaja.
  10. Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukan dengan peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat jelata.
  11. ‘Green tax’ sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang membuat pencemaran diperlukan.
  12. Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan (bukan pelaburan), kami meminta  agar kerajaan mengkaji untuk mengehadkan pinjaman untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 % sebelum ini.
  13. Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
  14. Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
  15. Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
  16. Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan ‘dosa’ ke atas rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
  17. Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh ‘membunuh’ kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
  18. Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepda jadual cukai asal iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan kerajaan.

 

Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (An Nisa:58)

Firman Allah juga :

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Ertinya : sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. ( Al-Qasas : 26)

Sabda Rasulullah SAW:

Tiada iman pada orang yang tidak beramanah” (Riwayat Ahmad)

 

 

Dari kami untuk khidmat masyarakat,

 

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)

Ustaz Dr. Maszlee Malik

Ustaz Dr Zahazan Muhammad,

Ustaz Syed Mohd Norhisyam

Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,

Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,

Ustaz Hj Aizam Mas’ud,

Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,

Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,

Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,

Ustaz Ramadhan Fitri Elias,

Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,

Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'

Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Ustaz Shauqi Othman

Ustaz Mohd Izhar Ariff

Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta

Dr. Mohd Nizam Barom



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan





RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Aktiviti Semasa

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 61 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir
  • Kafineczo

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Pandangan Ilmuan & Pendakwah Terhadap Bajet 2012