Politik & Dakwah Politik Islam & Dakwah Harus Serbu & Mengintip Bagi Elak Zina/Khalwat?

Harus Serbu & Mengintip Bagi Elak Zina/Khalwat?

  • PDF
(38 votes, average 4.74 out of 5)

Harus Mengintip & Menyerbu Bagi Mencegah

Khalwat & Zina ? 

Oleh

Ust. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Baru-baru ini timbul kehangatan dalam soal intipan dan serbuan yang dilakukan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam bagi mematahkan gejala zina, khalwat dan yang berkaitan dengannya.

Hasil tinjauan saya, agak banyak juga kritikan dari pelbagai pihak terhadap kedua-dua pihak yang terlibat. Di ruangan peribadi saya ini, saya tergerak untuk turut serta memberikan pandangan berdasarkan kafahaman dan penilaian kepada pandangan, hujjah dan perdebatan yang diberikan setelah diasak dengan puluhan soalan yang sama dari pelbagai pihak kepada saya melalui SMS, web site peribadi, email dan yahoogroup saya. Bagaimanapun saya tidak sesekali menganggap tulisan ini akan mampu memuaskan hati kedua-dua belah pihak.

SYARAT AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Hal ini saya tidak perlu mengutarakannya dengan panjang, kerana ramai sudah ‘kelihatan' jelas dengan syarat-syarat pelaksanaan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar'. Syarat-syarat ini disebut dengan amat jelas antaranya dari sumber berikut :-

  • 1) Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazzali (5/34)
  • 2) Min Fiqh Ad-Dawlah Fil Islam oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, ( hlm 121, cet Dar As-Syuruq)
  • 3) At-Tasyri' Al-Jinaie al-Islami oleh Syeikh Abd Qadir Awdah ( 1/501, cet Muassasah Ar-Risalah)
  • 4) Fiqh Ad-Dakwah Wal Irsyad oleh Syeikh Abd Rahman Hasan al-Habannakah. ( 2/ 242, cet Dar Al-Qalam)

Syarat-syarat ini perlu dipenuhi demi membolehkan dilaksanakan perubahan (taghyir) samada dengan tangan, lisan dan hati sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadith sohih yang cukup popular ( Riwayat Muslim dalam kitab Iman). Tanpa syarat ini, tiada peruntukan dibenarkan oleh Islam untuk melakukan ketiga-tiga tindakan pencegahan tadi. Kesemua syarat-syarat dikeluarkan dari hadith Nabi SAW dan setelah dirujuk kelihatan kesemua syarat yang dikeluarkan oleh para ulama Islam adalah hampir sama, ringkasannya seperti berikut :-

1) Kejahatan (maksiat) itu mestilah dari jenis yang disepakati sebagai dosa dengan hukum haram secara qat'ie (putus) berdasarkan dalil-dalil yang tepat, specifik dan jelas atau dengan ijma'. Sebarang hukum yang bersifat ijtihadi terbuka untuk perbincangan dengan hujjah yang kemas.

2) Maksiat itu sedang berlaku, jika ia belum berlaku atau dijangkakan akan berlaku, tindakan yang harus hanyalah dinasihati terlebih dahulu. Ini bermakna, sebelum berlaku, tiga tindakan cegahan tadi belum menjadi harus, kerana itulah amalan menasihati samada secara umum atau specifik dibenarkan. ( At-Tasyri' al-JInaie Al-Islami, 1/502)

3) Mempunyai kemampuan sebenar dari sudut ilmu, kuasa, suasana dan yang berkaitan untuk melakukan usaha mencegah ini.

4) Mestilah diyakini pencegahan itu tidak membawa kemudaratan yang lebih besar.

5) Maksiat itu mestilah terzohir (ternampak) dengan jelas tanpa perlu pengintipan samada dengan cara pendengaran, penglihatan dan sebagainya. Allah SWT menyebut :

ولا تجسسوا

Ertinya : Janganlah engkau mengintip-ngintip ( Al-Hujurat : 12  

Perlu difahami bahawa setiap rumah dan inidividu dijaga hak, kehormatan dan maruahnya oleh Islam berdasarkan hadith yang banyak. Malah dosa peribadi yang dilakukan di rumah adalah antara individu dengan Allah SWT. Antaranya sebuah hadith sohih menyebut:

كل أمتي معافى إلا المجاهرين

Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali yang berterangan-terangan (melakukan maksiat tanpa malu dan takut)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla."[Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Juga sebuah kisah yang popular berkenaan tindakan Sayyiidna Umar r.a iaitu :-

عبد الرحمن ابن عوف أنه حرس ليلة مع عمر بن الخطاب, فبينا هم يمشون شب لهم سراج في بيت, فانطلقوا يؤمونه حتى إذا دنوا منه إذا باب مجاف على قوم لهم فيه أصوات مرتفعة ولغط. فقال عمر وأخذ بيد عبد الرحمن: أتدري بيت من هذا؟ قال: قلت: لا. قال: هو ربيعة بن أمية بن خلف وهم الآن شرب فما ترى؟ قال عبد الرحمن: أرى قد أتينا ما نهانا الله عنه نهانا الله فقال: ((ولا تجسسوا)) فقد تجسسنا. فانصرف عنهم عمر وتركهم.

(Daripada) ‘Abd al-Rahman bin Auf radhiallahu 'anh bahawasanya beliau pernah berjaga malam bersama ‘Umar bin al-Khattab. Tatkala mereka sedang mengelilingi kampung, mereka melihat sebuah lampu yang sedang menyala dari rumah, maka mereka menghampiri rumah tersebut. Ketika mereka menghampiri, mereka dapati pintu rumah tersebut terbuka tanpa seorang pun di sana, sedangkan dari dalam rumah terdengar suara yang sangat kuat. Berkata ‘Umar sambil memegang tangan ‘Abd al-Rahman: "Tahukah kamu rumah siapa ini?"

‘Abd al-Rahman menjawab: "Tidak." ‘Umar berkata: "Ini adalah rumah Rubi‘ah bin Umayyah bin Khalaf, saat ini mereka sedang minum arak, bagaimana pendapat mu?"

‘Abdul Rahman berkata: "Aku fikir, kita sekarang ini telah mengejar sesuatu yang dilarang oleh Allah. Bukankah Allah telah berfirman: "...dan janganlah kamu mengintip ..." dan kita telah mengintip mereka. Setelah mendengar perkataan beliau, Umar pergi dan meninggalkan mereka. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq diteliti oleh Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktabah al-Islami, 10/231, riwayat no: 18943)

ADAKAH PENGECUALIAN DARI LARANGAN PEMERIKSAAN DAN PENGINTIPAN?

Persoalan sekarang adalah; adakah mengintip, menyelidik serta menyerbu premis peribadi dan bilik hotel harus dilakukan?. Jawab ringkasnya; walaupun seseorang tidak dibenarkan mengintip kesalahan dan aurat orang lain, tetapi jika ‘ghalib zhon' (besar kemungkinan) seseorang cuba menyembunyikan sesuatu maksiat atau jenayah yang boleh memudaratkan ramai orang (seperti yang melibatkan orang lain, seperti menculik, cubaan membunuh dan sebagainya) tetapi dalam masa yang sama terzahir juga tanda-tanda kejahatan dengan jelas atau berdasarkan laporan yang boleh dipercayai benarnya, maka hukum larangan menyelidik, mengintai dan menyerbu mungkin berubah dari haram kepada harus malah wajib dalam keadaan tertentu berdasarkan tahap maslahat yang disasarkan (Fiqh Ad-Dakwah Ila Allah, Syeikh Abd Rahman Hassan Al-Habannakah, 2/242 dengan pindaan dan tambahan). Antara bentuk yang boleh mengharuskannya adalah seperti :-

a- Terdengar suara orang menjerit meminta pertolongan dalam sebuah rumah tertutup yang diyakini terdapat mangsa sedang bergelut dengan penjahat di dalamnya.

b- Terkeluar bauan arak yang amat kuat dari sebuah rumah orang Islam serta ramai pula tetamunya (persis sebuah majlis arak dan seks beramai).

c- Terlihat dengan jelas si lelaki membawa wanita yang diyakini bukan isterinya berdua-duan, berpelukan dan berpegangan tangan dengan cara yang diketahui bukan cara sang suami dengan isteri.

d- Berdua-duaan lelaki dan wanita yang diyakini bukan mahram di tepi-tepi tasik atau di dalam bilik kuliah di Universiti pada jam 2 pagi.

e- Melakukan maksiat secara bersembunyi di dalam kereta tetapi di lakukan tempat awam yang gelap.

Maka dalam keadaan di atas, adalah HARUS untuk meninjau dan memeriksa, sebagai mengambil hazar (jalan hati-hati) dari terlewat bertindak sehingga berlakunya maksiat atau jenayah. Malah HARUS juga untuk MENGETUK, memeriksa rumah dan bilik hotel seseorang jika terdapat laporan yang boleh dipercayai tentang ia melakukan jenayah atau maksiat di dalamnya terutamanya apabila terzahir sehingga keluar bunyi jeritan minta tolong, bauan arak yang haram dan sepertinya (Rujuk Al-Ahkam Al-Sultaniyah, hlm 218 ; At-Tasryi' Al-Jina'ie, 1/504 dengan sedikit tambahan dan pindaan ; Asna Al-Matalib, 4/180 ; Ihya Ulumiddin, 5/36)

TATACARA YANG PERLU DIPERBETUL

Apa yang diperlukan kini adalah ketertiban adab dan tatacara si penyelidik atau penyerbu. Bagi kes serbuan bilik hotel sebagai contoh, terdapat kemungkinan penghuni bilik itu adalah suami isteri. Terdapat kemungkinan besar pula mereka tidak membawa sijil nikah bersama. Justeru, pegawai penguatkuasa perlu berhati-hati agar mereka tidak bertindak dengan nafsu seronok hingga boleh mengaibkan orang serta menjaga adab sebagai wakil kepada Jabatan dan penguatkuasa agama. Untuk itu, perlu bertanya terlebih dahulu, memberi ruang kepada wanita di dalam bilik tersebut untuk berpakaian lengkap sebelum mengajukan pelbagai soalan.

Kerana itu, adalah penting bertindak berdasarkan laporan dan tidak sewajarnya di'serang' semua bilik hotel setiap kali serbuan dibuat. Dalam kes serbuan bilik hotel, antara contoh adab dan tertib yang terlintas di fikiran saya, yang perlu dipastikan oleh Jabatan Agama dan penguatkuasa serbuan dan tangkapan adalah seperti berikut :-

1) Memastikan semua pegawai yang dihantar adalah terlatih dan berilmu dalam tugasan yang ingin dilaksanakan. Termasuklah pegawai sukarelawan, ini kerana ia membawa imej sesebuah jabatan agama itu.

2) Mestilah bertindak menyerbu dengan laporan sahaja jika dalam keadaan biasa, kecuali jika statistik dan data yang tinggi menunjukkan sesebuah hotel itu adalah sarang pelacuran dan maksiat. Maka serbuan walau tanpa laporan dilakukan sekali sekala demi mengganggu hasrat ahli maksiat. Pun begitu WAJIB menjaga adab serbuan.

3) Jangan mengintai dan sengaja menunggu hingga dapat melihat sesuatu yang tidak harus baginya untuk melihat, tetapi perlulah terus memaklumkan dengan lantang akan kehadiran mereka sebagai Jabatan Agama. Samada dengan terus mengetuk pintu. Perlu difahami bahawa ia masih diikat dengan hadith :

Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a:
"Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan." 

4) Jangan terus memasuki bilik hotel yang diserbu, sebaliknya meminta si lelaki membuka pintu terlebih dahulu. Pegawai bertugas tidak perlu bertungkus lumus berlari di setiap sudut bilik hotel bagi mencari suspek wanita atau lelaki.

5) Jangan terus membuka semua pintu bilik air dan menarik selimut sebaliknya mengarahkan si lelaki (atau wanita) berkenaan untuk memanggilnya keluar atau jika dinyatakan bahawa ia adalah isterinya. Pihak Jabatan perlulah bersangka baik dan memberi ruang agar si isteri menutup aurat dengan sempurna dan kemudian barulah mereka kembali memastikan status wanita itu. Ini kerana dibimbangi ia adalah isteri sebenar bagi si lelaki.

6) Jangan mengejar sehingga boleh menyebabkan jatuh dari tingkat tinggi dan kematian

 

SEBAB-SEBAB YANG MENJADIKAN INTIPAN, SELIDIKAN BERUBAH HUKUM KEPADA HARUS

Antara sebab yang menjadikan selidikan, serbuan dan intipan ringan bertukar dari haram kepada hukum bersyarat adalah :-

1)       Apabila Terdapat Bukti dan Laporan Berwibawa

Berkenaan keharusan tinjauan, serbuan dan selidikan, kita boleh melihat dari hadith yang disebut sebelum ini, iaitu :-

مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ

Ertinya : "Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami.."

Lafaz ‘menampakkan' dalam hadith ini mempunyai pelbagai bentuk dan cara, antaranya dengan cara (At-Tasyri' Al-Jinaie Al-Islami, 1/504-505 dengan tambahan) :-  

  • Pertama : Pendengaran, seperti terdengar percakapan dua lelaki tentang hasrat mereka untuk melakukan pembunuhan dan penculikan; maka di ketika itu adalah harus mengintipnya dan menelitinya. Demikian juga, percakapan wanita dan lelaki untuk menyewa hotel untuk melakukan maksiat mereka.
  • Kedua : iaitu dengan bauan dan hiduan tertentu, seperti pembawa dadah di dalam beg. Pihak kastam menggunakan anjing pengesan untuk menghidunya sedangkan ianya adalah tersembunyi dan disembunyikan, hasilnya adalah harus menahan mana-mana orang yang begnya dikesan oleh anjing pengesan sebagai berpotensi mempunyai dadah.
  • Ketiga: Pengelihatan mata, saya kira ia adalah amat jelas.
  • Keempat: melalui sentuhan, sebagai contoh sentuhan tidak diundang si lelaki terhadap seorang wanita dijadikan dalil dan bukti terhadap niat jahat si lelaki yang tersembunyi.

Apabila terdapat tanda-tanda seperti ini dalam kes khalwat di hotel dan lainnya, serbuan dan penyelidikan adalah HARUS dilaksanakan, tetapi sebagaimana yang disebut tadi, ianya mestilah dilaksanakan dengan HEMAH DAN ADAB. Untuk itu, Jabatan Agama perlulah menyediakan ‘guideline' dan kursus bagi penguatkuasa ini agar mereka lebih berilmu.

Saya pernah membaca beberapa kali di akhbar, penguatkuasa sukarela penangkapan khalwat yang  menyeleweng sehingga ada yang mencabul kehormatan wanita yang ditangkapnya. Inilah akibat apabila operasi ini tidak ditangani dengan terancang.

2) Dilakukan Atas Dasar Siyasah Syari'yyah oleh Pemerintah

Imam As-Syafie r.h berkata : " Tiada Siyasah kecuali yang bertepatan dengan kehendak Shariah" ( Turuq Hukmiyah, Ibn Qayyim, hlm 41, cet Al Maktab al-Islami). Kita perlu memahami bahawa di dalam memahami dalil-dalil al-Quran dan hadith berkenaan larangan intipan, hak dan harta peribadi seseorang masih boleh dicerobohi oleh pemerintah Muslim apabila disasarkan tindakan itu kepada satu maslahat yang lebih umum dan luas. Bagaimanapun, sebagaimana di sebut tadi, ia mestilah dilakukan dengan adab menurut garis panduan  tertentu.

Dalam hal menyerbu bilik-bilik hotel, saya berpandangan ianya HARUS dilakukan terutamanya apabila mendapat LAPORAN yang diyakini benarnya. Manakala DI KETIKA tiada terdapat laporan, serbuan juga boleh menjadi HARUS untuk dilakukan demi mencapai salah satu di antara Maqasid Shariah, iaitu menjaga keturunan dan menjaga maruah umat Islam. Antara objektif Shariah dalam mengharamkan perbuatan zina adalah kerana ianya boleh mencarik silsilah keturunan umat manusia, menyebabkan hubungan keturunan terancam, selain itu zina dan khalwat boleh menyebabkan maruah tercarik, berlakunya tuduhan zina tanpa saksi yang cukup dan sebagianya. Untuk itu, menjadi satu tujuan yang sohih untuk mencari jalan agar seluruh kemungkinan yang boleh membawa kepada zina di tutup sekadar kemampuan yang ada. Ia dinamakan ‘Sadd Zari'ati az-Zina' (menutup peluang zina) di bilik hotel yang urufnya sarang maksiat. Ia berbeza dengan serbuan di RUMAH yang tidak sepatutnya dilakukan kecuali apabila terdapat LAPORAN yang benar-benar dipercayai. Perlu difahami akan bezanya intipan di rumah dan intipan di hotel dan tasik di malam hari.

Umum mengetahui bahawa hotel kerap kali dijadikan tempat maksiat oleh pasangan muda mudi, juga tidak terkecuali golongan tua. Disokong pula dengan statistik kekerapan berlakunya maksiat di hotel, bolehlah dikatakan ia sebagai satu tempat yang amat strategik dan kondusif untuk melakukan maksiat. Ini menyebabkan kumpulan ilmuan Islam perlu menilai hukum serbuan di hotel berbanding rumah persendirian dalam konteks semasa.

Selain itu, ia juga berobjektif untuk menyusah dan menimbulkan rasa takut serta bimbang pelaku maksiat untuk bersenang-senang ke hotel bagi melakukan perzinaan, khalwat, culik dan lain-lain aktiviti maksiat atau jenayah.

Bagaimanapun, kekerapan serbuan tanpa laporan ini perlulah rasional dan dipantau agar tidak keterlaluan. Ini bermakna, serbuan beradab tanpa laporan dibuat atas dasar Siyasah Syar'iyyah.

KEFAHAMAN TERHADAP DALIL LARANGAN INTIPAN 

Saya faham bahawa memang jelas dan terang terdapat pelbagai dalil terutamanya dari hadith Nabi SAW  yang mengisyaratkan dengan jelas perihal kejinya perbuatan mencari-cari kesalahan dan mengintip. Bagaimanapun, ia masih lagi terbuka kepada ijtihad berubahnya hukum itu dalam keadaan suasana dan zaman tertentu. Kes Sayyidina Umar al-Khattab yang meninjau di dalam rumah Rubi‘ah bin Umayyah adalah dalam situasi yang mungkin berbeza dengan hotel awam di zaman ini.  Malah Kefahaman hadith dengan sohih juga mestilah ditinjau dari jenis hadith. Ini kerana berapa banyak jenis hadith yang ‘direct' menyebut sesuatu hukum tetapi ia berbeza aplikasi hukumnya kerana ada di antaranya :-

a- Dibina di atas uruf dan adat di ketika itu, dan boleh berubah menurut keadaan. Sebagaimana hadith laknat Allah SWT atas tindakan

"menyambung rambut untuk kecantikKan serta mengubah ciptaan Allah " ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1853 , no 4604).

Dalam hal hadith ini terdapat ulama seperti Ibn ‘Asyur yang berijtihad mengatakan : "menurut pandanganku, larangan ini adalah terkesan kepada keadaan (uruf) di zaman Arab silam" (Maqasid As-Shariah al-Islamiyah, hlm 228 ). Dr. Muhammad Abu Laith pula menyatakan " Terdapat benarnya kata-kata Ibn ‘Asyur dalam hal ini , kerana ulama tidak mengambil hadith tadi dalam bentuk umumnya sehingga berkatalah Ulama Syafie dan Hanbali : HARUS bagi wanita berkahwin untuk menyambung rambut dengan rambut yang bersih bukan kepunyaan manusia apabila mendapat izin suaminya" ( ‘Ulum al-Hadith, Dr Md Laith, hlm 366 ; Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 1/312 naqal dari Laith)

b- Terikat dengan zaman tertentu yang berubah menurut zaman juga. Sebagai contoh hadith yang menyebut tentang timbangan adalah menurut timbangan ahli Mekah dan ‘mikyal' adalah menurut kiraan ahli Madinah. (Riwayat Abu Daud, 3/246 ; Sohih ). Dr Yusof Al-Qaradawi dan Syeikh Mustafa Az-Zarqa dengan terang dan jelas menyebut bahawa hadith ini terikat dengan zaman dan kelebihan kepada timbangan dan kiraan ahli Mekah dan Madinah itu tidak bersifat tetap sehingga hari kiamat tetapi telah berubah kepada kiraan moden yang lebih mudah. (Kayfa Nata'amal Ma'a As-Sunnah, hlm 147 ; Fatawa Az-Zarqa )

c- Dibina atas dasar menutup peluang dosa atau kerburukan dari berlaku; sebagai contoh, hadith larangan Nabi SAW dari menjatuh hukuman bunuh ke atas pelaku sihir yang mensihir Nabi SAW bernama Lubaid Al-‘Asom. Imam Ibn Hajar menyebutkan bahawa Imam Al-Qurtubi berpendapat bahawa pelepasan dari hukuman itu dibuat kerana bimbang jika dijatuhkan hukuman bunuh kepadanya, maka akan menjauhkan orang ramai dari memasuki Islam. ( Fath al-Bari, 1/231 ; rujuk pelbagai contoh lain dalam Ulum AL-Hadith oleh Dr. Md Abu Laith, hlm 373)

d- Dibina atas dasar maslahat tertentu yang berubah menurut zaman ; Sebagai contoh adalah larangan Nabi SAW dari melaksanakan hukuman poting tangan pencuri ketika musim peperangan. ( Riwayat at-Tirmidzi, no 1450 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ). Cuba lihat sedangkan dalil jelas dari Al-Quran mengarahkan hukuman ini dilakukan, tetapi di ‘adjust' waktu pelaksanaannya menurut maslahat. Demikian juga kisah Sayyidina Umar al-Khattab yang mengubah cara Nabi yang biasanya membahagikan hasil kemenangan Islam di Khaybar kepada para pejuang. Dimana Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya tidak mengagihkan tanah Sham, Iraq dan mesir kepada para pejuang, sebaliknya mengekalkannya di tangan tuan tanah dan hanya mengenakan cukai tanah (Kharraj) sahaja. ( Rujuk al-Mughni, 4/189)

Banyak lagi bentuk hadith yang jelas hukumnya tetapi terdapat aplikasi dan tindakan pengecualian dalam keadaan tertentu, samalah seperti hal mengintip ini, masih terdapat ruang ijtihad untuk membolehkannya di laksanakan oleh pemerintah Muslim di zaman fasadnya umat, wujudnya peluang selesa maksiat di hotel dan lain-lain. 

TINDAKAN SIYASAH SYARIYYAH BOLEH MELAMPAUI HAK PERIBADI

Bukti bahawa beberapa hal yang haram atas individu boleh menjadi harus oleh pemerintah Muslim YANG ADIL dalam keadaan tertentu. Hal ini seperti berikut (Rujuk At-Turuq al-Hukmiyah, Ibn Qayyim al-Jawziyah, hlm 43) :-

a) Tindakan Nabi SAW yang memerintahkan wanita yang mencaci dan melaknat untanya, agar melepaskannya. (Riwayat Muslim ; no 2595). Kita dapat melihat bahawa unta tersebut adalah harta milik si wanita dan Nabi SAW pernah menyebut di dalam sebuah hadith sohih bahawa "diri kamu, darah kamu, harta kamu dan maruah kamu sesame kamu adalah haram (untuk dicerobohi)" oleh orang lain tanpa hak. Maka dalam hal ini, hak harta peribadi si wanita yang sepatutnya haram diganggu oleh orang lain, telah dilupuskan statusnya oleh pemerintah Islam apabila diperintahkan ia melepaskannya. Inilah namanya tindakan Siyasah Syar'iyyah, bagaimanapun, kemudaratan yang timbul kepada awam mestilah diminimakan sedaya upaya. Agar mampu mencapai maksud yang disasarkan.

b) Memerintahkan agar dihukum bunuh bagi peminum arak bagi kali ke 4, hukum ini dinasakhkan selepas itu. (Riwayat Abu Daud ; no 4482 , At-Tirmidzi ; no 1444)

c) Merampas harta individu yang tidak mahu mengeluarkan zakat. (Riwayat Abu Daud ; no 1575 )

d) Nabi SAW pernah mencabut cincin emas seorang sahabat tanpa banyak soal, lalu dilemparkan cincin emas itu sedangkan ia adalah harta peribadi yang dijaga kehormatannya oleh Islam.

e) Mempergandakan nilai denda ke atas pencuri yang tidak cukup nilai curian (untuk dilakasanakan dipotong tangan), selain ditambah pula dengan dilaksanakan hukuman sebat sebagai pengajaran. (Riwayat Abu Daud ; no 4390 dan At-Tirmidzi ; no 1289). Sedangkan menyakiti orang lain adalah haram menurut hukum asalnya, tapi dalam hal ini, tindakan pemerintah yang melakukannya adalah harus bagi mensasarkan ia sebagai pengajaran.

f) Tindakan Nabi SAW yang bersungguh-sungguh mengecam untuk membakar rumah mereka yang tidak bersolat jemaah. (Riwayat Muslim ; no 652)

G) Tindakan Sayyidina Umar al-Khattab yang membotakkan kepala Nadhar bin Hajjaj serta menghalaunya kelaur dari Madinah hanya semata-mata wajahnya yang terlampau kacak menyebabkan wanita berangan-angan dan berhasrat untuk melakukan maksiat dengannya. Bukankah wajah yang tampan itu bukan ikhtiyar (pilihan) Nadhar, tetapi kita dapat melihat Siyasah Syariyyah menjadikan Umar bertindak demikian demi maslahat umum. Demikian juga menurut pandangan saya berkenaan serbuan sekali sekala oleh Jabatan Agama walaupun tanpa laporan, iaitu demi maslahat yang lebih umum. ( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46)

H) Umar juga pernah bertindak mengetuk kepala Sabi' bin Asal at-Tamimi kerana bertanya perkara yang tidak berkenaan dengannya. Bukankah terdapat pelbagai dalil melarang kita menyakiti orang lain.? Tetapi Umar memukulnya sebagai tindakan pengajaran kepada yang lain.

'Wajah ad-dalalah' ATAU KEFAHAMAN DARI DALIL-DALIL DARI semua item di atas adalah bagaimana hak peribadi dan milik seseorang HARUS di'CEROBOHI'kan menurut kadar yang sepatutnya oleh pemerintah muslim (dalam hal ini Jabatan-jabatan Agama lain) apabila ia diyakini boleh membawa kepada kebaikan awam yang lebih besar, tetapi ia tidaklah begitu terbuka dan masih mempunyai syarat-syarat seperti cuba meminimakan mudarat individu itu, dibuat secara beradab dan rasional dan sebagainya.

KESIMPULAN

Demikian, secara sederhana saya utarakan pandangan ketiga dalam hal ini. Ini bermakna, saya bersetuju dengan saranan sebahagian ilmuan dan mufti yang menyarankan WAJIB diperkemas tindakan serbuan, tetapi saya TIDAK sependapat dengan beliau dalam hal melarang dan mengharamkan intipan secara umum yang boleh menyebabkan terbantutnya seluruh operasi ops maksiat yang telah sedia ada. Saya juga bersetuju dengan JAKIM dan lain-lain Jabatan Agama yang ingin meneruskan usaha ini, pada masa yang sama saya tidak bersetuju jika tindakan Penguatkuasa Jabatan Agama yang menjadikannya sebagai rutin harian dan menyerbu tanpa adab dan tertib.

Akhirnya, banyak suara yang menyebut, KEUTAMAAN juga patut diberikan untuk mencegah maksiat yang dilakukan secara terang-terangan, saya bersetuju dengan kenyataan ini, tetapi saya kurang bersetuju untuk menidakkan usaha Siyasah Syariyyah ke arah pembanterasan gejala khalwat dan potensi zina di hotel, tepi tasik, bilik kuliah Universiti, di dalam kereta di dalam gelap dan lain-lain tempat strategik maksiat. Sebagaimana tidak perlu kita menidakkan usaha solatnya seorang kaki judi, tidak perlu juga menyuruh orang yang ponteng solat untuk agar meninggalkan puasa mereka atau mengkrtik mereka apabila mereka melakukan solat sunat dhuha. Biarlah, jika itu sahaja yang mampu dilaksanakan ketika ini demi meluaskan ketaatan kepada Allah. Maka lakukanlah, cuma tambahilah ilmu dalam pelaksanaannya. Ibn Qayyim menyebut : "Barangsiapa berijtihad dalam hal mendapatkan taat kepada perintah Allah dan Rasulnya (dalam hal muamalat dan adat) maka ia berada di lingkungan satu ganjaran atau dua" ( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 50)

 

Bagaimanapun, saya tidak dapat menjamin kemampuan melayan semua komentar kerana masa yang amat terhad.

 

Wallahu ‘alam.

sekian

12 Januari 2007

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 17 guests

Komen Terbaru

You are here: Politik & Dakwah Politik Islam & Dakwah Harus Serbu & Mengintip Bagi Elak Zina/Khalwat?