Teruskan Ponzi Sekadar Dapatkan Modal Semula
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Soalan
Assalamualaikum,
Apa hukum teruskan Skim Ponzi setelah insaf dengan tujuan mendapatkan semula modal sahaja?
Contoh, modal RM20K @ RM300 sebulan selama 10 tahun, sangat membebankan bagi pekerja berpendapatan rendah.
JAWAPAN
Telah kita ketahui bahawa skim piramid atau ponzi adalah Riba Nasiah dan Riba al-Fadhl kerana duit berbalas duit yang tidak sama nilainya dan dibuat secara bertangguh.
Ia juga tergolong dalam kategori haram kerana penipuan dan memakan harta orang lain secara zalim.
Selain itu, ia sekali lagi jatuh haram kerana bercanggah dengan undang-undang sesebuah Negara termasuklah Negara bebas seperti US dan United Kingdom.
Justeru, meneruskan usaha mencari ‘downline' setelah mengetahui ia adalah skim yang salah dan haram di sisi hokum Islam dan Negara adalah DILRANG DAN HARAM juga.
Alasan untuk mendapatkan semula modal TIDAK SAMA SEKALI mengharuskan seseorang untuk terus melibatkan orang lain dalam mudarat skim ini. Ia jelas sama seperti si mangsa yang sedar itu sedang berusaha mencuri duit orang lain dengan alasan ingin mendapatkan modalnya yang dicuri oleh uplinenya.
Ia tidak dibenarkan,
Apa yang sepatutnya dilakukannya adalah :-
1) Meminta wang modalnya kembali dari upline dan memulangkan apa-apa produk syarikat (jika ada) yang dijadikan umpan untuk pembayaran.
2) Menuntut kembali wang dari syarikat (jika syarikat masih beroperasi)
3) Jika syarikat degil, memfailkan saman di mahkamah ke atas individu pemilik syarikat, kerana jika difailkan atas syarikat, kemungkinan syarikat tersbeut akan diserbu dan ditamtkan oleh pihak berkuasa justeru, failkan saman kepada individu pemilik syarikat. Kelak pihak mahkamah yang akan memutuskan bagaimana hak mangsa berkenaan pembayaran balik modalnya.
4) Jika semua usaha di atas gagal, anggaplah ia sebagai pembersihan harta-harta syubhat dan haram yang mungkin tidak disengajai atau dengan sengaja berada di dalam milik anda.
Janganlah bersedih kerana harta dan kehidupan dunia ini gunanya sementara sahaja. Gembiralah kerana diingati oleh Allah lalu diujinya dan dibersihkannya dari harta-harta yang kurang elok.
Jangan lupa juga, wajiblah dilaporkan skim ponzi kepada pihak berkuasa secepat mungkin sebelum mereka mendapat lebih ramai mangsa, bantulah individu lain agar mereka tidak terjebak dengan segera menamatkan ‘hayat' syarikat tersebut. Itulah tuntutan Islam sebagaimana hadis nabi :
انصر أخاك ظالما أو مظلوما
فقالوا: يا رسول الله عرفنا كيف ننصره إذا كان مظلوماً، فكيف ننصره إذا كان ظالماً؟
قال: تردعه وتحجزه عن الظلم فذلك نصره
Ertinya : Sabda nabi : bantulah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.
Sahabat bertanya : " kami faham tuntutan membantu mereka yang dizalimi, tetapi bagaimana dengan mereka yang zalim?"
Jawab Nabi : Iaitu dengan menghalangnya dari terus melakukan kezaliman, itulah erti membantunya) ( Riwayat Muslim)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
19 Disember 2008
sekian
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites