Logo ‘Halal' & ‘Islam' : Haruskan
Guna Tanpa Selidik?
( Artikel ini diterbitkan oleh METRO AHAD 3 Dis 06)
Oleh
Ust Zaharuddin Abd Rahman
Salah satu persoalan yang kerap bermain di pemikiran umat Islam adalah apabila mereka ingin menggunakan produk-produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Islam'. Ada di antara mereka yang tertanya-tanya samada menjadi kewajiban bagi mereka untuk membuat kajian sendiri sebelum menggunakannya atau mencukupi dengan ‘sangka baik' serta mempercayai tanda-tanda tersebut.
Hal ini berlaku dalam pelbagai bidang, samada dalam bidang pemakanan, barang kegunaan harian mahupun dalam bidang kewangan. Bagi bidang pemakanan dan penggunaan, kita dapat melihat dengan jelas peranan logo ‘halal' dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang begitu penting untuk dipastikan sebelum membeli sesuatu produk.
Manakala, bagi urusan kewangan, peranan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful (JPIT) di bawah Bank Negara Malaysia, Jabatan Pasaran Modal Islam di bawah Suruhnajaya Sekuriti serta Majlis Penasihat Shariah di pelbagai peringkat juga amat penting bagi memastikan logo ‘Islam' pada nama Bank dan produk kewangan adalah juga tulen sebagaimana logo JAKIM yang terdapat pada makanan.
Cabaran dalam memastikan kesemua logo ini tulen serta mempamerkan keislaman yang tulen sememangnya bukanlah satu kerja yang mudah. Terutama di dalam bab kewangan yang agak kompleks hingga menyebabkan kemungkinan terdapat perbezaaan pentafsiran memahami sesuatu konsep yang digunakan.
Cuma fokus saya dalam tulisan ini berkisar tentang tanggung jawab sebagai orang awam atau pengguna dalam hal memastikan kebenaran logo itu. Dengan kepelbagaian latar belakang, ilmu serta kemudahan. Terdapat yang bertanya, bolehkah saya berpegang terus dengan logo yang ada, tanpa sebarang usul periksa, dan jika ada sebarang khabar-kahabar angin, saya abaikan ?
Menurut pandangan Islam, bagi individu yang tidak mempunyai kemampuan samada ilmu, masa, sumber tepat dan berauthoriti untuk membuat kajian mendalam, maka hukum ke atas mereka adalah harus untuk menggunakan dan bersangka baik dengan ‘branding' 'Perbankan Islam' atau 'Bank Islam' atau "diluluskan Majlis Penasihat Shariah' dan apa jua terma yang jelas menunjukkan mereka di tadbir urus secara Islam. Allah SWT berfirman : "Tidak dipertanggung jawabkan seseorang dengan apa yang diluar kemampuannya" (Al-Baqarah : 233). Maka dalam hal ini, kewajiban seseorang adalah terhenti kepada usahanya untuk mencari sesuatu produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Perbankan Islam' sahaja. Tugasan wajib seterusnya dipikul oleh ilmuan khas Shariah, pengurusan institusi itu sendiri dan pihak berkuasa untuk memastikan yang ‘halal' dan ‘Islam' itu bukan sekadar jenama kosong tanpa isi.
Adapun bagi sesiapa yang ingin dan mempunyai kredibiliti serta sumber berauthoriti untuk membuat pengkajian dengan lebih mendalam, ia boleh dianggap satu ‘bonus' untuk diri mereka. Dalam situasi dimana mereka mendapati sesuatu kelemahan (kemungkinan melalui pengalaman mereka ketika berurusan dengan institusi kewangan Islam ini), mereka perlulah mendekati pihak yang bertanggung jawab terlebih dahulu sebelum memukul canang di luar sehingga boleh menguris kepercayaan awam kepada institusi kewangan Islam secara umum dan juga produk-produk berlogo ‘halal' itu.
Ia merupakan suatu akhlak Islam dalam memastikan bahawa informasi yang diperolehi disalurkan kepada saluran yang betul. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 83 ertinya : " dan apabila datang kepada kamu berita baik atau keburukan, mereka (orang munafiq) kerap suka menyebarkannya terlebih dahulu, (lebih baik) sekiranya mereka merujuk kepada perkara itu kepada Rasul dan pemerintah (orang berwajib) nescaya mereka tahu bagaimana untuk bertindak...".
Selain itu, tindakan memukul rata semua perbankan Islam lemah apabila menjumpai satu kesilapan adalah kurang tepat kerana :-
- a) Kesilapan itu adalah kesilapan individu pegawai yang bertugas itu sahaja. Jika demikian, kesilapan ini tidak harus dipertangungjawabkan kepada Majlis Penasihat Shariah sesebuah bank itu. Apatah lagi untuk meletakkan kesilapan itu kepada seluruh operasi bank-bank Islam di Malaysia dan dunia. Hal ini pernah dan sememangnya boleh berlaku. Menurut pengetahuan saya, terdapat seorang individu yang menjumpai beberapa kelemahan ketika ingin menggunakan produk pembiayaan perumahan, maka dihebohkan di satu negara dan kepada seluruh rakan-rakannya dengan dakwaan bahawa perbankan Islam di Malaysia sebagai ‘tidak berguna'. Padahal ia adalah kesilapan peribadi si pegawai yang bertugas hari itu. Wajarkah tindakan ini?.
- b) Kesilapan itu adalah kesilapan pengurusan institusi kewangan itu sahaja. Ertinya, Majlis Penasihat Shariahnya telah memberikan nasihat yang benar dan betul tentang tatacara, syarat dan rukun. Akan tetapi akibat dari kelalaian atau didorong oleh perasaan ingin memudahkan proses teknikal, pihak pengurusan telah mengubah keputusan Majlis Shariahnya kepada keputusan yang diubahsuai. Keadaan ini boleh berlaku jika Jentera Pemantauan Shariah di dalam operasi sesebuah institusi kewangan itu tidak kukuh dan berdiri sendiri (independence).
- c) Kesilapan itu adalah kesilapan pihak pengurusan dalam memberi gambaran proses kepada Majlis Penasihat Shariah. Hal ini juga mudah boleh berlaku terutama apabila pihak pengurusan tidak mampu menjangkakan tahap kefahaman ahli Majlis Penasihat Shariah mereka. Hasilnmya, mereka membentang dengan sangat ringkas, dan kelihatan mudah dan boleh diterima oleh Shariah. Akibatnya, walaupun ia diluluskan oleh Majlis Shariah tetapi tidak lebih hanya konsep sahaja dan bukannya cara aplikasi produk itu.
- d) Kesilapan Majlis Penasihat dalam memahami penerangan pengurusan. Ini juga mungkin berlaku, tetapi jika ia berlaku, pihak individu tadi masih tidak boleh membuat tuduhan ‘tidak Islamik' nya secara purata Institusi Kewangan Islam. Ini kerana kesilapan yang sama kemungkinan besar tidak berlaku di Institusi kewangan Islam yang lain.
Justeru, kesalahan satu-satu institusi tidak boleh dihukumkan ke atas seluruhnya. Tidak dinafikan sememangnya kemungkinan kesilapan berlaku akibat kelemahan manusia yang mengurus, justeru ia perlulah dibawa kepada peringkat perbincangan dan laporan dengan lebih sistematik.
Jika dilihat dari aspek yang lain pula, terdapat kemungkinan besar juga bahawa penemuan 'findings' mereka adalah silap, terutamanya jika individu tadi tidak memahami sebaiknya undang-undang Shariah, Malaysia dan instrumen kewangan moden. Kerana itu, adalah dibimbangi bahawa 'heboh' tanpa fakta sohih boleh menyebabkan orang awam keliru dan kembali ke institusi konvensional yang pastinya HARAM.
Secara tidak langsung, termasuklah orang seperti ini dalam hadith sohih "
barangsiapa yang mengajak kepada keburukan dan orang mengerjakannya, lalu ia akan menanggung dosa di pelaku tadi tanpa kurang.." Ini kerana, kerana sikap gopohnya, ia menjauhkan awam dari kebaikan akhirat kepada keburukan dunia akhirat.
sekian
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites