Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri
Oleh
www.zaharuddin.net
Berziarah dan berkumpul di musim raya sepatutnya menambah pahala dan BUKAN mencipta pelbagai dosa melalui mata & lisanmu. Bukan pula medan menunjuk kemampuan diri, apatah lagi untuk membanding dirimu dengan orang lain, sama ada pada besarnya kenderaan, hebatnya pakaian, meriahnya hiasan, jumlah duit raya & harta. Redhalah dengan apa yang sedang kamu miliki, jangan sesekali merasa diri ‘lebih' atau ‘kurang'. Bebaskan diri dari rantaian kebanggaan & kehinaan kerana pemilikan duniamu
Jangan pula sesekali kehadiran Syawal menambah beban HUTANGmu & jangan pula menyebabkan pembayaran hutangmu tertangguh. Hasil Ramadanmu mampu dilihat bermula Syawal, jika pedulimu terhadap hutang yang boleh menggugat akhiratmu diabai, ia tanda iman masih belum diisi sebaiknya di Ramadan, juga tanda kamu ingin merasai nikmat dunia melebihi nikmat akhiratmu. Perhatikanlah kemampuanmu.
Semasa menyambut idilfitri ini, jangan sampai menjadi seperti beberapa ramai yang lain, yang mana mereka merancang untuk berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini, seolah ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya mendapat keputusan ‘gagal' lalu berjaya terpalit doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan', merbahayalah laluannya pada bulan yang mendatang. Nau'zubillah.
Selamat Hari Raya 'Idil Fitri buat semua pengunjung zaharuddin.net.
Taqaballahu minna wa minkum soleh al-a'mal. (Didoakan agar Allah menerima amalan soleh kami dan kamu semuanya)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman, Noraslina Bt Jusin & anak-anak
www.zaharuddin.net, ummuhusna99.blogspot.com
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites