Harga Minyak, Elektrik & Beras Naik : Nikmat Dunia Tergugat

(46 votes, average 4.46 out of 5)

Harga Minyak Naik : Nikmat Dunia Tergugat

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

 

MInyak oh minyak
 

Kenaikan harga minyak petrol dan diesel bermula 5 Jun 2008 dan tariff elektrik mulai 1 Julai 2008 menyebabkan rakyat Malaysia ramai yang mencarut, memaki dan marah, hal ini dapat dilihat di sana sini.

Ada yang tidak boleh tidur memikirkan cara mengurus belanjawan baru keluarga. Bagi keluarga yang berpendapatan jenis ‘cukup-cukup makan sebulan' pasti semakin resah dan marah, sedih dan rasa terzalim.

Di Malaysia kita ini, sebenarnya banyak isu selain kenaikkan harga-harga ini, kita ada isu murtad, riba, syirik, bomoh, tangkal, zina, maksiat, culik, sumbang mahram dan pelbagai lagi.

Namun dari banyak-banyak isu, isu kenaikan harga beras dan minyak ini yang paling meriah sambutannya dari masyarakat. Hiruk pikuk dari segenap blog dan media.Kenapa??!!

Inilah realiti masyarakat kita, kehidupan dunia sangat memberi kesan kepada minda dan hati. Berbanding kenaikan pelbagai masalah berkaitan agama yang hanya mendapat sambutan beberapa kerat kumpulan masyarakat sahaja. Malah tidak dipedulikan oleh majoritinya.

Mudahnya, apabila perut sendiri tergugat dan libatkan dunianya yang DIKASIHI barulah ramai mahu bising dan protes. Selagi belum mengenai mereka dan hanya mengugat hal ghaib akhirat sahaja, JARANG DIHIRAUKANNYA.

Kita patut bimbang dengan iman kita sekarang ini, sangat patut bimbang. Kelihatan pengaruh dunia sangat mendalam kesannya dalam jiwa.

Jika sekiranya kedua-dua jenis isu dunia dan akhirat mendapat perhatian anda sejak sekian lama. Tahniah saya ucapkan, teruskan menjaga imanmu tersebut wahai teman.

Sebagai mengulas ringkas isu kenaikan harga ini, berikut beberapa fakta secara ‘adil' dan ulasan ringkas dan spontan saya (spontan ini menyebabkan mungkin saya ada terlepas pandangan aspek-aspek lain) :-

FAKTA : Harga sebenar petrol ialah RM3, tetapi kerana kerajaan memberi diskaun 30 sen, pengguna hanya membayar RM2.70 seliter.

ULASAN :

Terima kasih namun mengurangkan subsidi dalam sebuah masyarakat yang belum bersedia akan pasti menyakitkan orang awam berpendapatan rendah dan sederhana. Maksud saya ‘bersedia' antaranya :

1-      Ilmu dan skill . Purata masyarakat Malaysia terutamanya bumiputra masih terkial-kial dan mencari kehidupan dan pendapatan secara sihat. Skim cepat kaya, pelaburan haram interent, perjudian sms, rancangan hiburan masih bersarang dalam minda kebanyakkan mereka. Masyarakat sebegini masih manja dan perlukan perancangan terbaik dari kerajaan dari sudut pendidikan dan kewangan.

2-      Penghapusan Rasuah : Selagi rasuah menggila dalam Negara ia pasti menyekat perkembangan skill dan kemampuan diri rakyat. Maka apabila subsidi dikurangkan, kumpulan kurang pendapatan akan terus tertindas disebabkan rasuah. Malah lebih dahsyat, rasuah akan bertambah pula akibat dari segala kenaikan ini. Lihat sahaja Negara-negara maju, pra syarat mereka adalah mesti minimakan rasuah dahulu.

3-      Gaji minima ; Gaji minima diperlukan bagi membantu masyarakat kurang pendapatan mengharungi kenaikan demi kenaikan ini. Adalah amat dihargai jika gaji miniam dapat dinaikkan sedikit agar rakyat pendapatan rendah boleh menikmatinya sedikit.  Gaji minima di negara-negara yang mengapungkan harga minyak mereka adalah tinggi, ini seimbang dengan harga minyak, adapun Negara kita tidak sedemikian dan kita juga belum mampu untuk menawarkan gaji minima yang tinggi.

4-      Harga kereta belum wajar : Baik juga jika harga kereta sepatutnya di buka mengikut harga pasaran sebenar juga. Menurut faktanya harga kereta di Malaysia adalah antara yang termahal. Biar semua berlumba-lumba menjadi lebih kompetitif seperti Air Asia dan MAS. Mereka berlumba-lumba menawarkan harga rendah. Namun keuntungan mereka masih juga bertambah.

5-      Pengangkutan Awam Belum Sedia : Saya jarang menggunakan pengangkutan awam namun saya sedar akan kurang mampunya pengangkutan awam ini untuk menampung keperluan dan permintaan sekiranya semakin ramai ahli masyarakat ingin beralih dari kenderaan sendiri kepada pengangkutan awam. Ringkasnya, ia masih belum cukup efisyen.

 

FAKTA : Diskaun 30 sen diberi bagi setiap liter minyak. Jika harga minyak di pasaran dunia turun, penyelarasan akan dibuat sebulan sekali, tetapi kadar diskaun 30 sen itu akan tetap diberikan.

ULASAN :

Wallahu'alam, menurut pandangan saya, ia kelihatan baik dan wajar. Namun dalam konteks realiti yang sudah naik sebegini sukar untuk turun kembali.

FAKTA : Rebat tunai bahan api akan dibayar oleh kerajaan kepada pemilik kenderaan selepas mereka membayar cukai jalan.

ULASAN :

Saya kira ini adalah teknik kerajaan agar memastikan semua pengguna yang berkelayakan membayar cukai jalan, ini mungkin kerana ramai pengguna jalanraya tidak punyai road tax yang sah. Ia serampang dua mata.

Bagaimana pula  bagi keluarag miskin yang tiada kenderaan bermotor langsung?. Walaupun mereka tidak perlu mengisi minyak namun mereka masih perlu membeli barangan yang diangkut menggunakan kenderaan penjual. Sudah tentu si penjual akan menaikkan harga barangnya kelak. Bagaimana dengan rebate bagi kumpulan sasar sebegini?

Apa yang boleh membantu mereka. Kita bimbang mereka akan menjadi semakin miskin dan susah. Moga Allah membantu mereka.

FAKTA :

a- Bayaran tunai RM625 setahun diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick up dan jip berkapasiti sehingga 2,500cc. Pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula mendapat bayaran tunai RM150 setahun.

b- Cukai jalan dikurangkan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak tergolong dalam kategori itu.

c- Pemilik motosikal berkapasiti enjin lebih 250cc mendapat pengurangan cukai jalan RM50.

ULASAN

Saya kira ia sebenarnya cuba bertoleransi dengan kumpulan pendapatan sederhana dan cuba mengenakan kenaikan kepada kumpulan sasar kaya sahaja. Dalam hal ini, kerajaan dilihat meletakkan cc kenderaan sebagai kayu ukur, individu itu kaya atau miskin. 2000cc kereta dan 25cc ke atas dikira kaya lalu tidak layak mendapat sebarang subsidi rebate dan petrol (kecuali 30sen sebagaimana di atas).

Persoalannya, betulkah kayu ukur sebegini?

Kerajaan juga cuba toleransi dengan memberikan rebate cukai jalan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan mewah. Ini bermakna, orang berpendapatan sederhana mendapat RM625 setahun dan orang kaya dapat RM200 setahun. Sebenar jumlah RM625 setahun hanya mungkin cukup untuk 'cover' harga beras untuk kegunaan satu-satu keluarga.

FAKTA : Harga gas memasak LPG dan gas asli kenderaan NGV kekal pada harga lama.

ULASAN

Terima kasih. Perlu diteruskan.

FAKTA : Kira-kira 59 peratus isi rumah di Malaysia yang menggunakan elektrik pada kadar 200 kilowat jam atau kurang RM43.60 sebulan tidak akan terjejas dengan struktur baru tarif elektrik.

ULASAN :


Satu tindakan yang mungkin kurang toleransi, adalah lebih wajar jika kenaikan demi kenaikan ini dibuat secara ansuran dan sedikit demi sedikit. Kita baru sahaja menghadapi kenaiakn harga beras sebanyak 80-100%. Kini diikuti minyak dan seterusnya tariff elektrik.

Harga besi dan lain-lain juga baru sahaja naik, yang membawa kesan kenaikan harga rumah dan sudah tentu sewa,

Saya faham, diwartakan penggunaan yang MELEBIHI 200 kilowatt atau RM43.60 sahaja yang AKAN NAIK. Adapun kurang dari itu TIDAK BERUBAH. Ia jelas cuba mengenakan kumpulan sasar orang kaya dan tidak mengenai golongan miskin yang kurang menggunakan elektrik secara puratanya.

Namun demikian, apabila tarif elektrik lebih RM43.60 ini naik, kilang-kilang yang menghasilkan barang makanan dan industri akan menganggung kos tambahan. Pastinya semua barang akan naik lagi. Peniaga juga pastinya menggunakan kenderaan untuk menghantar barangan. Apabila harga minyak naik, sekali lagi peniaga mendapat sebab munasabah untuk menaikkan harga.  Akhirnya sampai juga kesan kenaikan kepada kumpulan miskin yang menggunakan tarif 43.60 sahaja. MAKA SEPATUNYA SABAR-SABARLAH UNTUK MENAIKKAN BEBAN ASASI.

 

 

KESIMPULAN RINGKAS

Rakyat miskin yang tiada kenderaan, terabai? Yang punyai kenderaan kurang 2000cc dapatlah RM625 setahun, pemilik kenderaan 2000cc ke atas dapat berjimat RM200 dari cukai jalan? Itu sahaja?.

Bagaimana dengan pertambahan pendapatan kerajaan. Ini yang perlu didedahkan secara telus. Malah ia juga menyebabkan Tun Dr Mahathir membuat kira-kira mudah :-

"Can the Government subsidise? I am the "adviser" to Petronas but I know very little about it beyond what is published in its accounts. What I do know may not be very accurate but should be sufficient for me to draw certain conclusions.

Roughly Malaysia produces 650,000 barrels of crude per day. We consume 400,000 barrels leaving 250,000 barrels to be exported.

Three years ago the selling price of crude was about USD30 per barrel. Today it is USD130 - an increase of USD100. There is hardly any increase in the production cost so that the extra USD100 can be considered as pure profit.

Our 250,000 barrels of export should earn us 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (twenty seven billion Ringgit).

But Petronas made a profit of well over RM70 billion, all of which belong to the Government.

By all accounts the Government is flushed with money.

But besides petrol the prices of palm oil, rubber and tin have also increased by about 400 per cent. Plantation companies and banks now earn as much as RM3 billion in profits each. Taxes paid by them must have also increased greatly.

I feel sure that maintaining the subsidy and gradually decreasing it would not hurt the Government finances."

 

FAKTA : Kerajaan akan memperoleh penjimatan subsidi sebanyak RM13.7 bilion setahun yang akan digunakan untuk subsidi produk makanan rakyat negara ini.

ULASAN :

Bagus dalam perancangan untuk subsidi makanan, namun subsidi makana diambil dari subsidi minyak. Maka harga makanan akan pasti naik juga. Justeru pusing-pusing semuanya ke satu destinasim, iaitu HARGA NAIK!. Gaji minima untuk kumpulan sasar miskin, masih tidak diperbaiki . Golongan bumiputra yang paling ramai miskin.

Saya juga bimbang, lagi terdesak orang bumiputra kita, lebih mudah mereka ditipu dan diperangkap oleh penyangak Ah-long, skim cepat kaya, MLM piramid, peraduan pelik, peraduan melancong percuma, elaun lumayan  dari khidmat hantar barang (dadah) di keluar negara dan lain-lain. Akhirnaya semakin terdesak. Semuanya kononnya ingin mencari side income selain kerja full time mereka.

 

PANDANGAN ISLAM

Sukar untuk saya menulis kesemuanya di waktu ini, ringkasnya tanggungjawab sebuah kerajaan menurut Islam memang tidak mudah. Pandangan mereka perlu sentiasa lebih hadapan dari pemikiran rakyat biasa. Kerana itulah mereka pimpinan mesti dilantik dari mereka yang berkelayakan.

Mereka perlu bermiskin dahulu berbanding rakyat, gunakan dahulu harta mereka sebelum rakyat.  Apa sahaja yang kurang merekalah yang perlu menyalurkan pendapatan mereka demi kebaikan rakyat. Mimpikah kita untuk mendapat pemimpin sebegini?

Kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam ; petiakn dari www.drmaza.com).

 

Demikian sedikit pandangan spontan saya berkenaan isu terkini terhangat. Anda juga bebas menolak dan menerimannya. Cuma dinasihatkan jangalah ada yang memaki dan mencarut di ruangan komentar saya ye. Cukuplah memberi idea dan komentar atau kritik dalam bentuk berhemah. Agar semua dapat manfaat termasuk saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

5 Jun 2008

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites