Error
(1 vote, average 5.00 out of 5)

 

Kesan Covid-19 Terhadap Ekonomi Malaysia - Suatu Pandangan Ringkas

Oleh 

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

kapal covid

 

Melihat kepada graph tukaran nilai Ringgit kepada USD, pada 24 Feb, USD 1 bersamaan RM 4.227, namun apabila semakin teruk isu Covid-19 ini, nilai Ringgit turut menurun. Pada 20 Mac RM 4.393 untuk tukaran 1 Dollar US. Perbezaan sebanyak RM 0.166 bagi setiap USD ini adalah besar, khususnya dalam industri institusi kewangan dan import eksport para pedagang. Untuk memudahkan kefahaman orang awam, gambarannya adalah, sekiranya pada tarikh 24 Feb, RM 42.27 juta boleh ditukar kepada USD 10 juta. Kini diperlukan tambahan sebanyak RM 1.66 juta lagi bagi mendapat nilai dollar USD yang sama sebulan yang lalu. Institusi kewangan, import eksport dan pasaran modal berurusan dengan nilai billion ringgit dalam sehari tentunya akan sangat merasa perbezaannya, peningkatan adalah sangat besar.

usd myr 90 day exchange rates history graph

 


Sebagaimana disebutkan tadi, antara industri yang paling terkesan adalah pengimport, mereka membeli bahan mentah dari luar negara akan terpaksa menanggung kos lebih tinggi, menjadikan mereka terpaksa menaikkan harga barangan siap ‘finished product’ jika dijual di dalam negara.


Manakala pengeksport pula akan mendapat pembayaran yang lebih kecil jika sebutharga mereka di dalam RM. Namun jika pembayaran dibuat dalam USD, mereka bakal beroleh keuntungan lebih besar. Bagi mengekang risiko ini, peniaga besar biasanya akan menggunakan transaksi lindung nilai dengan institusi kewangan tempatan, namun itu juga mempunyai kosnya yang tersendiri serta ia tidak begitu bersesuaian untuk industri kecil dan sederhana.


Keadaan lemahnya nilai ringgit dijangka berpanjangan apabila pertambahan kes Covid-19 di dalam negara telah mendahului seluruh negara Asian, malah Malaysia menduduki tempat ke 3 di Asia iaitu dari sudut jumlah kes, di belakang China dan Korea. Ini tentunya membimbangkan pelabur dan perniagaan kerana bagi sesebuah negara memulihkan kembali seluruh pergerakan perdagangan, perniagaan dan perindustrian di dalam negara, perniagaan perlu sentiasa bergerak ke hadapan dan lestari, di ketika kes bertambah setiap hari seperti ini, jangka pulih perniagaan dijangka turut akan semakin berpanjangan, ini bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih berisiko untuk dikekalkan pelaburan. Perniagaan hampir terhenti disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 2 minggu, atau mungkin lebih. Tentunya pelabur akan semakin bimbang dan boleh bertindak mengeluarkan pelaburan mereka. Ditambah lagi dengan ketidakstabilan politik dalam negara yang tidak kurang memberikan kesan negatif kepada pelabur. Gandingan Covid-19 dan politik tentunya lebih parah berbanding jika hanya Covid.

snp stocks

 

equity

 

Gambaran negatif ini tidak terhenti kepada Malaysia sahaja tetapi seluruh rantau Asia dan Asian. Ini semua bakal menyumbang kepada kejatuhan keyakinan pelaburan asing. Pun begitu, disebabkan Covid ini dirasai di seluruh dunia, kesan negatif darinya mungkin akan masih berimbang, kerana pelabur turut 'menggaru' kepala untuk menentukan destinasi pelaburan yang paling rendah risikonya. Justeru itu, terpulang kepada negara mana yang paling cekap dalam mengurus penularan penyakit berbahaya ini, negara terbabit mungkin bakal mendapat peluang cerah keyakinan pelabur kelak berbanding yang gagal mengurusnya dengan baik. Justeru, kerjasama rakyat seluruh untuk terus menjaga kebersihan diri, memakai topeng muka, duduk di rumah dalam tempoh ditetapkan adalah penting dan berkait dengan masa depan nyawa rakyat dan ekonomi negara juga.


Tindakan BNM menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas daripada 3 peratus kepada 2 peratus berkuatkuasa 20 Mac adalah baik. Setiap peniaga utama boleh mengambil kira Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia sehingga RM1 bilion sebagai sebahagian pematuhan SRR. Fleksibiliti kepada peniaga utama, disediakan sehingga 31 Mac ini. Kedua-dua langkah itu akan menambah RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan.

Tindakan ini secara umumnya adalah bagus untuk membantu rakyat dan masyarakat boleh terus berbelanja bagi menguatkan ekonomi dan terus aktifkan dagangan tempatan. Ini kerana ia turut memberi kesan bayaran pinjaman rakyat kepada bank yang biasanya akan berkurangan berbanding sebelumnya. Demikian juga pakej bantuan oleh kerajaan, namun begitu, dalam keadaan kawalan pergerakan ini, semua bergerak perlahan dan tidak pasti. Untuk terus membantu rakyat, saya berharap kerajaan turut boleh memberi pengurangan khas untuk potongan kadar cukai pendapatan bagi persendirian dan syarikat korporat, ia diharap dapat membantu syarikat untuk mengekalkan modal kerja untuk terus lestari dalam keadaan jualan dan pengeluaran yang banyak terencat akibat Covid-19 dan Kawalan Pergerakan. Ini tentunya akan mengurangkan hasil kerajaan pula, untuk mengimbangkan keadaan luar biasa dihadapi negara ini, mungkin pihak kerajaan dan pemimpin dapat berjiwa besar dan berjiwa rakyat dengan membatalkan sementara segala jenis elaun rasmi Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan. dengan pendapatan sedia ada mereka, dijangka pemotongan tersebut tidak akan banyak memberi kesan kepada kewangan golongan ini. Jumlah keseluruhan yang dipotong sementara itu mungkin boleh mengurangkan sedikit kos mengurus kerajaan. Pemotongan projek pembangunan turut bakal memberi kesan negatif kepada rangsangan ekonomi setempat dan rantaian syarikat terbabit serta para pekerjanya, justeru, ia mungkin bukan alternatif terbaik.


Penurunan harga minyak mentah dunia Brent dengan peratusan kejatuan terendah disaksikan dalam sejarah semenjak 29 tahun lalu iaitu di ketika Perang Teluk. Harganya jatuh dari USD 68 setong pada 31 Dis 2019 kepada USD 26.98 pada 16 Mac 2020. Kesannya, harga petrol runcit akan turun, namun hasil kerajaan Malaysia pasti tergugat teruk, DITAMBAH LAGI DENGAN HASIL BESAR YANG SELAMA INI DIRAIH NEGARA MELALUI INDUSTRI PELANCONGAN turut hampir lumpuh. Secara langsungnya ini turut akan banyak memberi kesan buruk kepada Ringgit dan negara kerana negara bergantung kepada hasil pendapatan jualan minyak oleh Petronas, penurunan harga bakal menyaksikan negara mungkin kekurangan hasil, seterusnya memperlukan strategi baru dalam mengutip hasil negara. Ketidaktentuan ini bakal menambah risiko kepada pelabur asing, yang mungkin mengakibatkan mereka menarik pelaburan mereka dan menjual pegangan Ringgit. Semua ini mampu menjatuhkan lagi nilai pasaran saham negara dan nilai ringgit.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Prof. Adjung Fakulti Perniagaan UNISZA & UNISEL
21 Mac 2020



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites