Mogok Lapar & Benarkah Matlamat Tidak Halalkan Cara ?

(3 votes, average 4.67 out of 5)

Mogok Lapar & Benarkah Matlamat

Tidak Halalkan Cara ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ways.jpg

 

Terlalu kerap kita mendengar ungkapan "Matlamat Tidak Menghalalkan Cara'. Terdapat ramai juga pihak yang menggunakannya tetapi tidak mengetahui sumbernya, tidak pula mengetahui bahawa kaedah itu juga ada limitasinya. Sebenarnya bukan semua matlamat tidak menghalalkan cara dan bukan semua matlamat boleh menghalalkan cara.  Saya menulis atas dasar akademik dan berharap pembaca boleh membaca dengan teliti, jangan menyalahgunakannya selepas ini, jangan pula terus keliru dengannya.

Saya tidak berhasrat untuk menulis panjang lebar akan asal usul kaedah ini. Tumpuan saya adalah kepada membetulkan kekeliruan faham banyak pihak dalam penggunaannya sahaja.

KAEDAH ATAU TIDAK ?

Ada yang menyatakan ia adalah sebuah kaedah di dalam Islam, atau keadah Fiqh, dan pelbagai lagi, hakikatnya phrasa atau teori atau apa sahaja yang ingin anda namakan ia, iaitu :-

الغاية لا تُبرر الوسيلة

Ertinya : " Matlamat tidak menghalalkan cara"

Ia sebenarnya bukanlah sebuah kaedah di dalam Islam atau Fiqh Islam.

Perlu difahami bahawa untuk digelar sebuah ‘kaedah' sama ada Usuliyyah atau Fiqhiyyah di dalam Islam ia mestilah bersumberkan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadis yang pelbagai dan berulang-ulang maksud dan ertinya, hingga boleh dikenalpasti ia adalah adalah satu ‘kaedah teras' dalam hukum hakam Fiqh. Untuk memahaminya, seperti jika terdapat sebuah lorong jalan raya di lebuh raya yang menurut statistiknya amat kerap berlaku kemalangan, hasilnya lorong tersebut akan diletakkan sebuah papan tanda bergambar tengkorak, ia tatakala itu ia adalah sebagai sebuah ‘kaedah', pemberitahuan kepada semua pengguna jalanraya, bahawa lorong ini merbahaya dan kawasan kemalangan.

MAKA APA SUMBER DAN ASAL USUL TEORI INI?

Ringkasnya, phrasa ini mempunyai sedikit kaitan dengan beberapa teori di dalam pengajian Usul Fiqh seperti :-

"sad az-zari'ah"

Ertinya : Penutupan pintu (keburukan)

Ye, sad az-zarai'e adalah sebuah teori yang popular di dalam bidang Usul Fiqh Islam. Ia memberikan indikasi, bagi menutup pintu-pintu dosa dan haram dari berlaku, maka semua jalan-jalan yang berpotensi untuk menghala dan mendorong kepadanya turut mengambil hukum haramnya. Imam Al-Alusi pernah menyebut sebuah kata-kata kesimpulan bagi keadaan ini iaitu :-

أن للوسائل حكم المقاصد

Ertinya : Bagi hukum sesuatu jalan (cara), adalah mengikuti hukum objektif atau maqasidnya[1]

Namun melihat dan mengamati apa yang disebut oleh Imam al-Alusi ini akan membawa kefahaman seolah-olah ‘matlamat menghalalkan cara', dek kerana hukum jalan adalah mengikuti objektif, justeru jika objektifnya baik, sudah tentu jalannya akan turut diterima dan menjadi baik walaupun ia adalah cara yang haram, begitukah ?

Di sini pembaca perlu berhati-hati, dengan sebuah lagi phrasa berkaitan iaitu ‘Matlamat Menghalalkan Cara', teori ini menurut sumbernya dipopularkan oleh Niccolò Machiavelli di dalam buku tulisannya bertajuk ‘The Prince'.

Jika dirujuk kepada konsep yang digagaskan oleh Machiavelli  ini, sudah tentunya Islam menolak ideanya kerana ia tidak mempunyai sebarang limitasi dan panduan. Ia terbuka, untuk apa sahaja cara, selagi mana boleh membawa sesuatu objektif yang ingin diraih dan dikira perlu. Maka lakukankanlah cara itu, ia akan berubah menjadi mulia dan diterima.

HABIS BAGAIMANA ?

Sebenarnya, Islam menolak sebahagian kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara' dan menerima pula sebahagian bentuknya.

Dalam masa yang sama, Islam juga, menerima idea "Matlamat TIDAK Menghalalkan Cara" dan menolak sebahagian dari bentuknya.

Adakah anda sudah keliru?. Untuk lebih jelas, berikut adalah penjelasan lanjutnya.

Apa yang penting, sesudah anda membaca tulisan ini, anda cuma perlu tahu apa bentuk-bentuk yang boleh diterima dan ditolak oleh Islam. Kemudian boleh anda mengguna pakai kedua-dua phrasa yang popular ini, tanpa menelitinya seseorang akan tergolong di dalam kumpulan yang tidak memahami cara penggunaan dan seterusnya tersalah dalam kefahaman dan aplikasinya.

BAGAIMANA DAN BILA ISLAM MENGHALALKAN CARA ?

      Dalam keadaan tertentu Islam menghalalkan cara untuk mencapai sesuatu matlamat yang lebih utama dan besar kepentingannya berbanding cara yang diambil. Bidang yang jatuh dalam kumpulan cara boleh menjadi harus disebabkan matlamat ini HANYA TERGOLONG dalam bidang muamalat harta, jenayah dan keluarga, kerana kebanyakan dari hukuman dalam bidang ini bergantung kepada 'illah atau penentuan sebab utama dan matlamat serta objektif. Adapun, bidang ibadah tidaklah termasuk kerana ia bersifat ta'abudi

      Ringkasan hujjah dan dalil bagi keadaan ini adalah :-

      1. Firman Allah : -

: فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya : Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Al-Baqarah : 173)

Ayat ini jelas menunjukkan bagi mencapai matlamat ‘TERUS HIDUP' iaitu maslahat nyawa, dibenarkan bagi seseorang Islam itu untuk melakukan satu cara yang tidak halal, iaitu memakan makanan yang haram, bagi mencapai matlamatnya iaitu terus hidup. Ini kerana kepentingan nyawa adalah lebih besar berbanding memakan yang haram, justeru dalam keadaan TERPAKSA sahaja, cara yang asalnya HARAM itu menjadi harus buat sementara waktu.

        2.    Firman Allah swt :-

من كفر بالله من بعد إيمانه إلا من أكره وقلبه مطمئن بالإيمان ولكن من شرح بالكفر صدرا

Ertinya : Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar. ( An-Nahl : 106 )

Ayat ini juga menunjukkan keterpaksaan dalam menjaga atlamat iaitu nyawa, membolehkan seseorang Islam mengucapkan perkataan kafir, semata-mata untuk mencapai matlamat yang lebih utama, iaitu dengan syarat ia dalam keadaan terpaksa dan hatinya tetap beriman.

        3.    Hadis Nabawi

ليس الكذاب الذي يصلح بين الناس ويقول خيراً وينمي خيراً

Ertinya : Tiadalah dikira sebagai pembohong, mereka yang memperdamaikan di antara manusia, dan dia berkata yang baik dan berharap hasil yang baik juga. ( Riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini membawakan kata-kata Ibn Shihab yang mengatakan diberikan keringanan untuk untuk berbohong di dalam tiga keadaan iaitu :-

Namun Imam At-Tabari tidak bersetuju dan berpendapat yang dibenarkan bukanlah berbihong tetapi adalah tawriah iaitu menyembunyikan hal yang benar dengan cara-cara bijaksana seperti kata-kata yang membawa banyak maksud. [2] Apa yang jelas dari huraian para ulasa silam, mereka sepakat keharusan menipu dalam keadaan terpaksa dan dharurat, namun mereka berbeza tafsiran dalam keadaan biasa demi mencapai matlamat yang halal dan baik. [3]

       4.    Keadah Umum Fiqh

الضرورات تبيح المحظورات

Ertinya : keadaan terdesak (dharurat) boleh mengharuskan yang haram.

Ini adalah kaedah yang sangat popular dan diketahui umum, walaupun ia hanya relevan di dalam hal terdesak, ia masih satu keadah yang memberikan indikasi matlamat boleh menghalalkan cara dalam sesetengah bentuk dan keadaan

 


MOGOK LAPAR, FATWA POLITIK DAN KEWANGAN ?

Matlamat akan boleh menghalalkan cara apabila:-

1.   MATLAMAT itu adalah terlalu besar sehingga mencapai tahap terdesak. Ia juga digelar kehausan melalui peruntukan rukhshah. Tatkala itu mana-mana CARA yang tidak memberi mudarat kepada orang lain adalah dibenarkan.

2.   MATLAMAT : bersifat kebaikan dan demi kepentingan umum yang ternyata melalui indikasi para ulama yang soleh lagi taqwa (bukan ulama dunia lagi jahat). Tidak pula berada di dalam keadaan terdesak (dharurat).

CARA : TIDAK PUTUS berkenaan pengharamannya. Sama ada disebabkan ijtihad berbeza dalam sesuatu perkara. Ia juga biasanya hanya melibatkan hal-hal muamalat ( urusan manusia dengan manusia samada dalam bab kewangan, jenayah dan rumahtangga)

Hanya ‘cara' yang diputuskan secara qatie, seperti minum atau industri arak, zina, perjudian, industri riba, pembunuhan nyawa, murtad dan yang sepertinya tidak akan boleh menjadi harus walau ada yang mungkin berhujjah ia untuk kepentingan atau maslahat umum, kerana tatkala itu hujjahnya adalah bohong semata-mata.

Sebagai contoh cara-cara yang tergolong dalam kelompok boleh menjadi cara yang dibenarkan disebabkan besarnya manfaat dan masalahat pada matlamatnya adalah:

  •  Bab Kewangan : Malaysia mengambil fatwa yang lebih ringan di dalam hal jualan hutang secara diskaun (discounted debt trading), atau jualan al-Inah yang mana kedua-dua jenis jualan ini tidak dipersetujui oleh majoriti ulama di peringkat antarabangsa. Namun dibenarkan oleh majority ulama Fiqh Malaysia atas pelbagai hujjah, antaranya (bukan ini sahaja, hanya antara lain sahaja!) untuk memberikan lonjakan awal perkembangan kepada industri kewangan Islam, kerana cara-cara tersebut lebih mudah dan customer friendly. Justeru tidak boleh untuk kita mengatakan, industri perbankan Islam di Malaysia menghalalkan ‘cara' iaitu merujuk kepada kedua-dua jenis jualan tadi untuk mencapai ‘matlamat' yang murni (iaitu kebangkitan industri kewangan halal di Malaysia). INi kerana kedua-dua cara tadi tidak putus pengharamannya.

  • Bab Politik : Demikian juga di dalam bab pendekatan politik, seperti ‘mogok lapar' yang heboh baru-baru ini, jika ia merujuk kepada mogok lapar yang sehingga boleh ‘membunuh diri', sudah tentu ia tergolong dalam 'cara' yang dilarang. Namun sekiranya ia adalah satu jenis mogok lapar versi Malaysia iaitu berpuasa sunat bagi yang Islam, dan boleh minum setiap beberapa jam bagi bukan Islam, tentulah ia tidak tergolong dalam ‘cara yang putus hukum haramnya'. Kerana ia tidak memudarat malah tidak membunuh diri. Telah disebutkan sebelum ini, tindakan dalam bidang politik banyak bergantung kepada motif dan objektifnya, selagi caranya tidak secara tepat menyalahi hukum, ia adalah tergolong dalam hal yang mubah (harus). Pun begitu, tidaklah beerti saya menyokong tindakan mogok lapar itu, saya hanya memberitahu penilaian ringkas hukumnya sama ada ia tergolong di dalam 'cara' yang harus atau tidak sahaja.

Perlu diingat, bab politik adalah satu ilmu dan displin yang terlalu banyak flexibiliti di dalam Islam namun ia diikat oleh pelbagai restriction (dhawabid) juga. Hasilnya TIDAKLAH TEPAT untuk dianggap sesuatu pihak atau kumpulan telah menggadai prinsip atau dasar selagi mana tiada tindakan haram secara putus dilakukan.

Sejarah Islam yang silam telah membuktikan kepada kita bagaimana pemerintah Islam mempunyai mandat untuk mengubah ‘cara' tertentu atas target mencapai matlamat yang diijtihadkan lebih besar manfaat buat umat. Sebagai contoh tindakan khalifah Umar al-Khattab r.a untuk tidak menggagihkan tanah Iraq kepada pejuang-pejuang Islam yang berjuang (atas nama ghanimah sepatutnya). Sebaliknya Umar r.a membiarkan tanah itu kekal kepada pemiliknya dan dikenakan cukai kharraj dan jizyah secara berterusan atas dengan maslahat yang lebih besar untuk umat Islam. Sedangkan tindakannya kelihatan secara zahirnya seolah-olah bercanggah dengan peruntukan Al-Quran dan amalan Nabi s.a.w, tindakan beliau juga dibantah oleh Bilal bin Rabah dan Abd rahman Bin Auf, namun Umar yang berhujjah dengan ayat surah al-Hasyr ayat keenam sebagai justifikasi ijtihad dan keputusannya, beliau juga mendapat sokongan majoriti sahabat termasuk Uthman Affan r.a dan Ali k.w.[1]

Justeru itu, di dalam urusan muamalat (urusan manusia dengan manusia) sama ada dari aspek kewangan, politik, jenayah dan rumah tangga, masih terdapat campur tangan isu maslahat dan mafsadah, pertimbangan keduanya adalah terpakai (valid) bagi menentukan sesebuah tindakan itu dibenarkan atau ditolak dalam mencapai sesebuah matlamat yang digariskan. 

  

3.    MATLAMAT bersifat kebaikan dan kepentingan awam, manakala

CARA : Disepakati haram namun mudaratnya jauh lebih kecil berbanding manfaat yang amat besar. Seperti melibatkan diri dalam industri ceramah di televisyen, terpaksa bergaul dengan melihat aurat petugas-petugas wanita di set penggambaran. Atau dijemput menjadi penulis artikel tamu berkaitan Islam di sebuah majalah yang bercampur halal dan haram.

Namun demikian, penentuan besar atau kecil, ini sekali lagi amat dibimbangi ditentukan sewenang-wenangnya oleh individu tidak berkelayakan. Justeru, pengesahan ulama atau kumpulan ulama yang bertaqwa lagi berkelayakan adalah perlu demi mengelakkan hukum dipermainkan.

AKHIRNYA

Sekarang, jika masih ingin berhujjah dengan matlamat tidak menghalalkan cara dalam apa jua isu, fahamilah terlebih dahulu bentuk-bentuk yang dibenar dan tidak yang diperuntukan oleh Islam, melalui Al-Quran, Al-Hadis dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin.

Dan jangan lagi sesiapa sahaja dengan mudah, menolak atau mengutuk secara sewenangnya atau pukul rata phrasa sama ada teori ‘matlamat menghalalkan cara' atau ‘matlamat tidak menghalalkan cara'

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Jun 2009



[1] Ruh al-Ma'ani, 28/84 ; Mirqat al-Mafatih, 4/238

[2] Syarah Sohih Muslim, di hadis no 2605

[3] Rujuk Fath Al-Bari, Kitab al-Sulh, hadis 2546

[4] Rujuk kisah lengkap ini dalam Al-Kharraj, abu Yusuf, halaman 26-29



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites