Wanita Sebagai Pemimpin Menurut Shariah

(11 votes, average 4.82 out of 5)
 

STATUS WANITA SEBAGAI PEMIMPIN

MENURUT ISLAM

Oleh :

Ust Zaharuddin Abd Rahman

Imam Al-Mawardi r.a [1] (450 H) menjelaskan jawatan seperti Perdana Menteri atau juga menteri ketenteraan adalah tidak dibolehkan bagi wanita serta tidak sesuai dengan kemampuan sifat mereka terutama apabila melibatkan ketenteraan. Beliau juga menyenaraikan sifat ‘lelaki' sebagai salah satu daripada 10 syarat kepada kepimpinan di peringkat ‘tafwid' tetapi tidak di peringkat ‘tanfiz'.

Menurut Imam Hasan Al-Banna [2], wanita tidak dibenarkan menjawat apa-apa jawatan di wilayah ‘ammah atau wazarah tafwid seperti kepimpinan ketenteraan (wilayah jihad), wilayah hisbah, wilayah kehakiman, wilayah haji, wilayah kharaj dan lain-lain bentuk umum. Selain dalil-dalil biasa dari Al-quran dan al-Hadtih, beliau juga berdalilkan ijma’ amali yang menunjukkan bahawa sejak zaman Rasul SAW, baginda tidak pernah melantik kepimpinan umum di kalangan wanita dan hal ini berterusan hinggalah jatuhnya empayar Islam Uthmaniyyah. Malah Rasulullah SAW dan para sahabat juga tidak pernah melantik ahli kenggotaan syura ( ahl al-hal wal aqd ) dari kalangan wanita.

Dr. Abd Qadir Abu Faris (Ahli Parlimen Ikhwan Muslimin Jordan sekarang) juga berpandangan seperti Imam Hasan Al-Banna. Beliau menguatkan pandangan Imam Hasan dengan membawakan persitiwa Bai’ah Aqabah Kedua dimana Rasulullah SAW telah memilih 12 orang ketua dan tidak pun melantik wanita sekalipun mereka hadir berbaiah. Begitu juga ketika Rasul SAW menghimpun sahabat dalam memutuskan keputusan dalam peperangan Uhud, Ahzab, “Fath Makkah” , Perang Hunain dll, Rasul tidak pun meminta pandangan dari kaum wanita. Dr. Abd Qadir bukan sahaja tidak menyetujui kepimpinan wanita di peringkat tafwid malah juga pringkat tanfiz. [3].

Dr. Yusoff Al-Qaradhawi dalam kitabnya Min Fiqh al-dawlah fil Islam, mempunyai pandangan yang sedikit berbeza, beliau berpandangan bahawa dalam konteks kepimpinan dunia hari ini, beliau lebih cenderung mengharuskan wanita memegang kesemua jawatan termasuk Perdana Menteri dengan beberapa syarat.

Antara hujjah Dr. Yusoff Al-Qaradhawi dan mereka yang mempersetujui keharusan ini adalah seperti berikut :-

1. Kisah kepimpinan wanita di peringkat tertinggi iaitu Ratu Balqis, digambarkan sebagai seorang pemimpin wanita tertinggi negara yang berwibawa serta mampu membawa kaumnya kepada kebaikan dunia akhirat. Firman Allah SWT:

قالوا نحن أولوا قوة وأولوا بأس شديد والأمر إليك فانظري ماذا تأمرين (النمل :33)

قالت رب إني ظلمت نفسي وأسلمت مع سليمان لله رب العالمين (النمل: 44)

Mafhum : Berkatalah kami (lelaki) yang mempunyai kekuatan, sesungguhnya kami serahkan urusan ini kepdamu ( ratu balqis) …” berkatalah Balqis “ Demi Tuhanku sesungguhnya aku telah berlaku zalim terhdp diriku nescaya kini aku akan beriman kepada Allah bersama Nabi Sulaiman” ( An-Naml 33 dan 44)

2. Mempersoalkan sifat umum pada hadith riwayat Bukhari tadi dengan hujjah :

a. Beliau menyatakan bahawa perkara menggunakan umum hadith untuk melarang kepimpinan dari kalangan wanita adalah tidak disepakati sepenuhnya. Selain itu, sekiranya ia diambil dengan pengertian umum lafaz sahaja maka akan bertentangan dengan kisah tawladan Ratu Balqis sebagai pemimpin tertinggi yang berjaya. Ratu Balqis digambarkan oleh Allah sebagai berkata :

قالت ياأيها الملأ أفتوني في أمري ما كنت قاطعة أمرا حتى تشهدوني(32)

Mafhum : “Wahai pembesar berikanlah pandangan kepadaku dalam urusan ini, aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya” ( An-Naml 32)

b. Mengambil kaedah fiqhiyyah العادة محكمة dan bersandarkan kepada fiqh waqi’ , reality hari ini kebanyakan wanita menyumbang kebaikan yang banyak untuk negara malah adakalanya lebih daripada lelaki, bahkan mereka juga ada yang lebih berkelayakan dari pelbagai sudut berbanding lelaki.

Ini bermakna, kita perlu memahami hadith dan sunnah fi’liyah Rasulullah SAW berdasarkan ‘mulabasat’ atau suasana zaman dan kemampuan wanita ketika itu. Hasilnya, Al-Qaradhawi seolah-olah cuba memberi isyarat di sini, bahawa isu hukum kepimpinan wanita adalah isu furu’ yang boleh berubah menurut peredaran zaman, apa yang penting adalah syarat KEMAMPUAN DARI PELBAGAI SUDUT tanpa menjadikan JANTINA SEBAGAI PUNCA PERBEZAAN UTAMA DAN KELAYAKAN.

3. Hadith tadi juga memberi kefahaman bahawa ketika wujudnya Khilafah Islamiyyah, wanita memang kelihatan amat kurang sesuai menjadi imamah uzma iaitu khalifah walaupun di ketika zaman ini. Hal ini sememangnya disepakati larangannya, tetapi selepas ketiadaan khilafah tahun 1924 M, sebahagian ulama’ telah meng‘qias’ kan kepimpinan ratu Balqis sebagai Presiden yang punyai kuasa dalam memberi persetujuan terhadap sebarang pelaksanaan dasar. Justeru, dalam ketiadaan khilafah, negara-negara umat Islam hanyalah bertaraf seperti Gabenor di wilayah yang terhad. Sehubungan dengan itu, wanita boleh memegang jawatan menteri, Qadhi atau lain-lain.

4. Dalam masyarakat di bawah system demokrasi hari ini, apabila wanita dilantik ke jawatan kementerian, Parlimen, Pentadbiran atau lainnya, ia tidak bermakna ia memegang jawatan ini secara veto, hakikatnya ia adalah kepimpinan secara kolektif, yang mempunyai sebuah institusi dalam menentukan tindakan. Justeru, menurut al-Qaradhawi, ia tidak bertentangan dengan Hadtih walau menurut apa jua tafsiran.

Prof Dr. Mohammad Hashim Kamali (UIA) pula berpandangan wanita dibenarkan memegang semua jawatan kepimpinan kecuali Perdana Menteri dan jawatan hakim. Manakala jawatan-jawatan lain seperti gabenor, wilayah hisbah, wilayah mazalim adalah perkara yang diperselisihkan antara ulama’. [4]

Al-Imam As-Syawkani (1255 H) di dalam Nailul Awtar menyatakan selain hadith di atas yang menjadi dalil tidak harus wanita memegang tampuk tertinggi pemerintahan, fuqaha’ juga berdalilkan satu hadith lain iaitu Mafhumnya :

Dari Buraidah dari Nabi SAW : “Qadhi (hakim) itu tiga, satu di dalam syurga, dau darinya di dalam neraka, maka mereka adalah lelaki yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengan nya,…..” ( Riwayat Ibn Majah, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan al-Hakim [5])

Lafaz kalimah “Qadhi” (kalimah khas untuk lelaki sahaja dalam bahasa arab) yang diguna di dalam hadith ini membuktikan jawatan qadhi dan hakim terhad hanya untuk kaum lelaki, demikian juga pemerintah.

KESIMPULAN PENULIS

Demikianlah serba sedikit perbezaan pandangan para ulama’ Islam dalam menentukan kedudukan wanita di peringkat tertinggi, ia adalah berpunca daripada perbezaan pandangan mereka dalam menentukan kaedah terbaik dalam menjaga maslahat umat, sebagai kesimpulan, penulis berpandangan seperti berikut :-

1) Pertamanya, semua pihak perlu menyedari bahawa urusan pendidikan anak-anak, adalah terlalu amat penting sebenarnya. Ia hakikatnya satu medan yang sangat sesuai dengan fitrah wanita. Justeru sekiranya wanita yang berkelayakan ini memimpin institusi keluarga, dan lelaki yang berkelayakan pula memimpin sebuah negara dan rakyatnya, inilah bentuk ideal dan menurut Islam, sunnah Rasul SAW dan tepat pula menurut hukum logik aqal. Tambahan pula lelaki secara semulajadi cukup sesuai untuk menanggung tugas tersebut jika diteliti dari sudut tenaga, mental dan fizikal mereka, manakala wanita pula sememangnya sangat sesuai untuk memimpin institusi pendidikan anak-anak bersendikan seni halus mereka, terutamanya apabila kepada kemampuan fizikal yang terhad, serta maruah sebagai wanita yang sangat mudah tercemar dan dicemari, lalu amat sesuai kiranya difokuskan ke bidang tersebut, dan sekiranya antara dua bidang (keluarga oleh wanita dan rakyat oleh lelaki) ini gagal dijaga dengan baik maka sudah tentu negara amat sukar memperolehi kebaikan.

Bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, mungkin hampir menyamai kepimpinan sebuah negara. Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga negara sedangkan anak-anaknya menjadi perosak Negara akibat terlepas dari jagaan yang terbaik.

2) Isu halangan wanita dari menjadi pemimpin tertinggi adalah merupakan perkara cabang yang dibenarkan untuk berijtihad dalam menentukan hukumnya, Jika dilihat daripada umum lafaz hadith, menurut jumhur ulama’ Usul Fiqh (kecuali menurut ulama’ Hanafiah), lafaz umum ini membawa ‘Dalalah Zanniyyah’, maka adalah harus untuk berikhtilaf dalam menentukan hukumnya, ini bermakna pendapat ulama yang melarang tidaklah bersifat qat’ie (putus) [6].

3) Menurut pengamatan penulis terhadap hujjah Dr Yusoff Al-Qaradhawi, ia kelihatan agak kukuh dan lebih sesuai menurut suasana hari ini, di samping ternyata ia adalah hasil kefahaman mendalam terhadap Ruh Tasyri’ serta tidak jumud di hadapan lafaz nusus. Justeru penulis menyokong pandangan yang membenarkan wanita menjadi pemimpin dengan syarat-syarat tertentu. Antara syarat yang diletakkan oleh beliau adalah (dan setengahnya adalah tambahan penulis) :-

a- Dr. Yusof al-Qaradhawi menyatakan syarat kepimpinan wanita, adalah mereka tidak gagal dalam mentadbir anak-anak hinggakan beliau meletakkan umur sekitar 45 ke atas adalah umur yang sesuai.

b- Tiada pemimpin lelaki yang lebih layak untuk menyandang jawatan tersebut pada ketika tersebut.

c- Pemimpin wanita ini mestilah tidak membuat keputusan secara peribadi dalam memutuskan hal-hal besar negara, bahkan mestilah membuat keputusan secara kolektif dan syura bersama pemimpin pelbagai peringkat.

d- Wanita yang terlibat dalam hal kepimpinan sudah tentu akan berlaku percampuran yang banyak dengan kaum lelaki maka, menjadi kewajiban baginya untuk memelihara adab-adab Islam semasa keluar rumah seperti menutup aurat dengan sempurna, tidak berwangian berdasarkan hadith :-

أيما امرأة استعطرت فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية وكل عين زانية "

Ertinya : “Mana-mana wanita yang berwangian lalu keluar rumah dan lalu di hadapan satu kaum (lelaki) dengan sengaja untuk menarik perhatian mereka, maka dosanya adalah seperti dosa zina” [7]

e- Mendapat kebenaran suami untuk berbuat demikian.

Apapun, kesesuaian persekitaran merupakan faktor penting dalam menentukan keharusan wanita samada dalam menjadi pemimpin (bukan peringkat tertinggi dan bukan qadhi, hakim – menurut sesetengah ulama), calon, ahli parlimen dan sebagainya, kerana WALAUPUN IA BOLEH DIKATAKAN HARUS PADA ASASNYA, tetapi ia mungkin menjadi haram kerana sebab-sebab luaran yang mendatang, ia disebut ‘Haram Li Ghairihi’ di dalam ilmu Usul Fiqh. Penulis juga merasakan, meletakkan hukum yang umum merangkumi semua karakter wanita dalam hal ini adalah kurang sesuai di waktu ini, sebaliknya keharusan tertakluk kepada kriteria syarat-syarat yang ditetapkan.

-bersambung-


--------------------------------------------------------------------------------

[1]. Ibid, hlm 22

[2]. Fiqh Siyasah ‘inda Al-Imam Hasan Al-Banna, Dr Muhd Abd Qadir Abu Faris

[3] An-Nizom As-Siyasi Fil Islam, hlm 335

[4]. Freedom, Equality and Justice In Islam, hlm 89

[5] Nailul awtar, As-Syawkani, 8/617, cet : Dar al-Fikr

[6] Rujuk Al-Ihkam fi usul al-Ahkam, Syeikh Saifuddin Al-Amidi

[7]. Riwayat At-Tirmidzi, no 2786 ; Ibn Hibban , no 4424 ; Ibn Khuzaimah , no 1681 ; Hadith bertaraf Hasan Sohih menurut Imam At-Tirmidzi, Shohih menurut Ibh Hibban dan Ibn Khuzaimah , Syeikh Syu’ib mengakui kekuatan sanad hadith, Hadith bertaraf Hasan menurut Syeikh Albani.

 

 


Add this page to your favorite Social Bookmarking websites