Jangan Biar Rekod Merah Di Bank

(18 votes, average 4.50 out of 5)

Jangan Biar Rekod Merah Di Bank

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Kebebasan kewangan

Hutang, hutang, hutang. Ingin berhutang,  ingin bayar hutang, dituntut membayar hutang, marah tak dapat hutang, marah tak bayar hutang. Itulah hutang.

Saya telah mengulas serba ringkas berkaitan hutang di artikel-artikel saya yang lalu seperti berikut :-

1.     Bahaya Hutang

2.     Dharuratkah Bila Bank Islam Menolak Permohonan?

Namun saya ingin tambah satu lagi nasihat dalam kesempatan ringkas ini. Kita semua tahu bahawa dalam dunia ini sentiasa akan terdapat individu yang ingin berhutang kerana keperluan mendesak dan asasi, dan akan sentiasa terdapat individu yang punyai lebihan wang yang mampu menghulurkan bantuan ini.

Dalam dunia moden ini, tugas menyediakan kewangan bagi mereka yang memerlukan ini diambil sebahagian besarnya oleh institusi kewangan yang bernama BANK. Ia adalah satu perkara baru dalam islam, namun tidak ditegah oleh Islam selagi setiap urusannya dilakukan menepati kontrak dan kehendak Islam, namun tidak semestinya MURAH (Siapa pula yang kata setiap benda Islam mesti lebih murah dari yang Kafir? perlu difahami bahawa Islam mengiktiraf kualiti dan merit, harga juga menurut kualiti, harga pasaran, modal penjual, kepakaran barang dan sistem, latar belakang pelanggan dan banyak lagi). Atas dasar itulah harga ditentukan bank-bank Islam. Namun bukan ini yang ingin saya ulas kali ini kerana saya telah banyak kali mengulas tentangnya.

LENGAH DAN TANGGUH

Di kesempatan ini, saya ingin nasihati diri dan rakan-rakan yang mempunyai sebarang bayaran tertangguh dengan pihak Bank ini agar lebih bijak dan ambil berat dalam menguruskan pembayarannya. Ada sebahagian rakan-rakan saya dan pelawat web ini merungut kerana mereka ingin mendapatkan pembiayaan dari bank-bank Islam tetapi ditolak, sedangkan kemampuan dan gaji mereka adalah baik jika dilihat dari kiraan "margin of repayment", iaitu melebihi 50%.

Justeru, apa sebabnya permohonan mereka ditolak juga.?

Jawabnya, ia disebabkan kerana rekod pembayaran hutang-hutang mereka sebelum ini menunjukkan pernah TERSANGKUT atau lambat BAYAR DUA, TIGA, EMPAT BULAN TERLEWAT. Keadaan ini menyebabkan rekod seseorang individu itu menjadi MERAH dan akibatnya bakal menyukarkan ia untuk berurusan mendapat pembiayan dari mana-mana bank Islam seluruh Malaysia. Pihak bank pasti akan menyemak rekod Credit Reference Information System (CCRIS )  yang akan mendedahkan semua rekod dan prestasi anda membayar hutang di semua instutusi kewangan di Malaysia. Anda ingin melihat sendiri rekod prestasi pembayaran hutang anda, anda boleh memohon di sini 

Kita tahu, ada antara kita lewat bayar bukan kerana liat, degil dan bukan juga kerana tidak berduit, tetapi kerana kesibukan dan adakalanya juga disebabkan bank itu tidak punyai perkhidmatan pembayaran melalui internet. Pembayaran yang memerlukan kita ke kaunter bank memang amat melecehkan terutamanya jika di Kuala Lumpur. Ditambah dengan jammed, kesukaran parking, beratur dan masa. Hasilnya, adalah rakan-rakan kita yang terlewat bayar 3 bulan atau empat bulan kerana kesibuakan dan kemalasan.

Ingin saya ingatkan, kelewatan itulah yang menyebabkan rekod anda semakin kotor hari demi hari dan akhirnya, permohonan pembiayaan anda di masa hadapan tidak lagi berjaya. Jika berjaya sekalipun, pelbagai syarat akan dikenakan seperti penjamin, ‘rate' yang lebih tinggi, jumlah kelulusan yang lebih kecil dan lain-lain lagi.

Inilah dunia reality perbankan hari ini. Siapa yang miliki rekod bersih, amat mudah menerima pembiayaan, malah adakalanya anda akan diberi ‘rate' istimewa, malah lebih aneh nombor handphone anda akan dihubingi oleh syarikat-syarikat pelancongan dengan pelbagai tawaran menginap di hotel mereka. Pelikkan, bagaimana merekqa ini boleh dapat nombor handphone anda?..jawabnya, pihak bank yang tidak amanah menjual nombor anda (yang dikenalpasti sebagai pelanggan baik dan kelas A) kepada agen-agen ini. Nasihat saya, jika anda mendapat panggilan-panggilan ini, abaikan sahaja.

KESIMPULAN

Tulisan ringkas saya ini bertujuan untuk nasihati diri saya dan anda untuk menjadi seorang ‘good paymaster' terhadap semua hutang-huitang kita di bank khususnya dan kepada rakan-rakan anda, selain mengurangkan sakit kepala anda, ia juga menaikkan nilai anda di mata institusi kewangan dan rakan anda, memudahkan anda untuk mendapat  pembiayaan lebih murah di masa hadapan. Malah sebahagian bank Islam akan memberikan anda diskaun atau rebate kerana kehebatan anda membayar dengan kemas.

Justeru, jangan lengah terutamanay jiak anda adalah seorang yang berduit, jika tidak berduit hingga terpaksa tangguh, itu sudah lain kisahnya.

Melewat-lewatkan pembayaran hutang ini hanya merendah martabat diri di mata institusi kewangan dan rakan anda yang memberikan pinjaman.

Jangan lengahkan pembayaran hutang  kerana ia adalah satu kezaliman di dalam Islam. Nabi s.a.w bersabda :-

مطل الغنيّ ظلم

Ertinya : "Penangguhan bayar hutang oleh mereka yang berkemampuan adalah satu kezaliman" (Riwayat Al-Bukhari)

Dan dalam sebuah hadis lain Nabi berkata :

لي الواجد يُحِلُّ عرضه وعقوبته

Ertinya " bagi mereka, layak dihukum maruah mereka dengan diiklankan kepada khalayak ramai keburukan mereka dalam mu'alamat dan pembayaran hutang , lalu layaklah mereka dihukum"

 Ingat-ingatlah sebelum terlupa sehingga tersangkut di akhirat.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

5 Julai 2008

Amsterdam Airport.

Netherlands



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites