Inginkan Pinjaman Betul-betul Free Dari Bank Islam?

(24 votes, average 4.88 out of 5)

Inginkan Pinjaman Betul-betul

Free  Dari Bank Islam?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Hari ini saya ada sedikit masa untuk ke beberapa buah bank dan menguruskan permohonan charge card Islam.  Bank pertama yang sempat saya pergi dan membuat permohohan adalah Ar-Rajhi Bank Malaysia.

Berbekalkan semua dokumen-dokumen yang diperlukan, permohonan telah selamat dibuat. Sejurus selepas itu saya pergi ke sebuah lagi foreign bank  yang mempunyai produk Islam, bank ini juga mempunyai kad caj islam mereka sendiri, sekali lagi saya memohon disebabkan ia mempunyai sesuatu yang tidak ada pada kad caj AR-Rajhi.

Bersama ini saya kongsikan beberapa kelebihan kad caj Ar-Rajhi dan kekurangannya dan juga sebuah kad caj bank lain .

nah duit halal
 

KELEBIHAN KETARA KAD CAJ RAJHI ( GOLD CARD )                            

Berikut adalah beberapa ciri yang perolehi hasil penerangan pegawai yang terbabit semasa memohon kad ini :-

Caj Tahunan  bagi kad klasik dan emas                      

RM 70 sahaja

Caj bagi pengeluaran wang melalui kad caj 

RM 10 setiap kali keluar (RM 1500 maximum sekali pengeluaran)

Jumlah Maximum

Dua kali ganda gaji, RM 12,000 (Gold Card jika gaji RM 6000), RM 4000 (Classic), namun jika gaji anda RM 10,000 beerti anda boleh dapat menggunakan RM 20,000 

Jumlah ‘Cash Advance' yang dibenarkan

50 % dari jumlah minima atau maksima. 

Jumlah Maximum   

Bergantung kepada persetujuan dan kekuatan kewangan anda.

Tempoh mesti bayar semula       

55 hari

Jika lewat bayar                

Tiada penalti sama sekali namun surat amaran diberikan dalam tempoh lebih kurang seminggu lagi dan sehinggalah 90 hari barulah pelanggan dianggap NPL. Tatkala itu surat mahkamah menyusul. 

Namun ingatan saya, janganlah menyalahgunakan kemudahan tiada penalti ini. Pegawai Rajhi memberitahu saya ramai termasuk orang Islam yang sengaja lewatkan lagi bayaran kerana tiada penalti dikenakan. Sehingga hampr 90 hari barulah ingin membayar. Ramai yang kerap marah-marah kepada bank Islam, tetapi anda lihat sekarang.

Apabila bank Islam seperti Rajhi ini ingin memperkenalkan sesuatu yang sangat baik untuk pelanggan, ada yang 'jahat' dan menyalahgunakannya. padahal mereka punyai wang yang cukup untuk menyelesaikan hutang mereka dalam tempoh 55 hari. Nabi s.a.w mengkategorikan orang berduit yang sengaja melewatkan bayaran hutang sebagai 'ZALIM', BERDOSA serta  layak diberikan hukuman.

Akibat sifat kurang baik orang ramai ini, Rajhi sudah mula keberatan untuk kempen hebat-hebat kad ini kerana bimbang lebih ramai yang berniat jahat sebagaimana di atas. 

YANG PERLU DIFAHAMI

Jika anda melihat sepintas lalu dari info diatas, sebenarnya kad caj Rajhi boleh dijadikan sumber modal perniagaan yang baik. Ini kerana anda dibenarkan untuk membuat pengeluaran wang dari mana-mana mesin ATM Rajhi, 50 % dari jumlah minimum (namun ini tidak tetap, kemungkinan pihak bank boleh memberikan anda jumlah yang lebih banyak dari ini, kerana RM 12,000 hanyalah jumlah minimum bagi pemegang GOLD CARD).

Ini bermakna jika anda punyai gold card anda boleh membuat pinjaman mudah paling minima TANPA SEBARANG RIBA SEBANYAK RM 6,000 dan wajib bayar semula pinjaman ini dalam masa 55 hari. Anda cuma dikenakan caj pengeluaran melalui mesin sebanyak RM 10 bagi setiap keluaran.

Maka dalam konteks ini, untuk mengeluarkan RM 6,000 (bagi pemegang gold card), anda perlu mengeluarkannya dari mesin sebanyak empat kali beerti RM 40 sahaja. Caj seperti ini adalah halal dikenakan oleh Ar-Rajhi kerana ia adalah kos khidmat mesin semata-mata dan tidak dinisbahkan dengan percentage kepada jumlah wang yang dikeluarkan.

Dengan wang sebanyak itu, dengan mudah anda boleh membeli saham yang berpotensi untuk naik dalam tempoh sebulan dengan menggunakan wang ini, dan seterusnya menjualnya dan memperolehi keuntungan bersih dan halal selagi mana cara beli saham dan kaunternya adalah halal. Atau boleh juga melabur di mana-mana pelaburan yang anda yakin dan berpotensi serta halal.  Namun wajib menjauhi sebarang pelaburan cepat kaya atau pulangan tetap yang diharamkan.

Lalu sebelum sampai tempoh 55 hari yang ditetapkan , anda boleh menyelesaikan semua RM 6,000 yang dikeluarkan sebelum itu.  Dan anda telah perolehi untung (jika saham yang anda beli betul dan naik harganya, jika turun, anda rugi dan tanggung hutang la ye)

KELAMAHAN KAD CAJ RAJHI

Menurut pandangan saya kelemahan mereka adalah :-

a. Cara bayar semula : mesti melalui kaunter atau mesin di cawangan-cawangan sedangkan cawangannya masih belum begitu merata.

b. Tidak punyai internet banking

c. Pendapatan minima untuk perolehi kad agak tinggi iaitu gaji RM 3000 sebulan untuk kad klasik dan RM 6000 untuk kad emas.

KAD CAJ SEBUAH FOREIGN BANK YANG PUNYAI PRODUK KAD CAJ ISLAM ( MASTERCARD).

Atas sebab-sebab yang memerlukan, saya juga memohon sebuah lagi kad caj dari sebuah bank international yang mempunyai kaunter Islamnya. Namun setelah dibandingkan dengan kemudahan yang disediakan oleh Ar-Rajhi Bank, nyata jelas produk Rajhi lebih menarik. Malah bank ini juga kelihatan mempunyai beberapa isu yang boleh kurang menarik jika dilihat dari sudut Shariah.

Caj tahunan  untuk gold card

RM 160 

Caj Tahunan bagi kad klasik

RM 80

Caj bagi pengeluaran wang       

RM 60 bagi setiap RM 1000 (tidak termasuk caj mesin)

Jumlah 'cash advance' yang dibenarkan 

Tahun pertama 30 % dari jumlah maximum, tahun kedua 40 % dan seterusnya.

Jumlah maximum pengeluaran  

2 ke 3 kali gaji anda

Tempoh bayaran semula

20 hari,

Jika lewat bayar

RM 50 denda untuk bulan pertama, dan RM 70 denda untuki bulan kedua dan kad akan terus ditahan selepas itu.

Jika anda meneliti aspek yang ditawarkan oleh bank ini, jelas dan terang ia tidaklah sebaik kad caj rajhi.

Kelebihan kad ini hanyalah disebabkan ia mempunyai cawangan satu dunia dan juga seluruh pembayaran boleh dibuat melalui internet banking yang dimilikinya. Ia memudahkan berbanding rajhi.

KESIMPULAN

Apapun, kad caj tidak sepopular kad kredit. Ia adalah akibat ramai yang tidak berduit dan mahu berbelanja besar dan suka menangguh-nangguh bayaran. Akhirnya redha dikenakan interest atau riba yang haram. Kesimpulan saya, kad kredit adalah sedap di awalnya namun perit yang amat dihujungnya. Kad caj sederhana di awal, sederhana di akhir, namn ia memudahkan.

Justeru, saya menyeru agar semua pembaca berhati-hati dengan kad kredit terutamanya kad kredit konvensional yang amat menindas dan sekiranya anda perlukan kemudahan sebuah kad, kad caj adalah jawapannya, ia juga mendisplinkan diri ada untuk membayar hutang dalam tempohnya.

Kerana itu, kad caj adakalanya dianggap untuk orang berduit mudah berbelanja dan tidak menepati nafsu ramai, iaitu tak berapa berduit tetapi nak berbelanja, atau berduit dan malas bayar awal, inilah mangsa dan target utama bagi pengeluar kad kredit.

Namun jika anda ingin pinjaman duit dengan niat tidak ingin bayar dan nak bersedap-sedap sahaja dengan duit orang, tidak perlulah anda kepada kad caj ini. Ini kad orang yang berhutang dan berniat untuk bayar dengan displin tinggi.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

29 Mei 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites