Perbetul Sikap Berkenaan Tuduhan & Kes Jai Network

(7 votes, average 4.71 out of 5)

Perbetul Sikap Berkenaan

Tuduhan & Isu Jai Network

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Hari ini saya terbaca satu berita berkenaan skim yang pernah kita bicarakan di web ini. Jelasnya, Perniagaan itu dan pengasasnya telah pun didakwa dan sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Namun saya ingin menasihatkan diri dan rakan-rakan pembaca agar adalah lebih adil dan tidak meluru membuat apa jua keputusan sebelum ianya diputuskan secara rasmi oleh mahkamah. Saya ingin mengambil contoh isu Jainetwork ini dan banyak lagi kes-kes di mahkamah dewasa ini untuk kita jadikan bahan berfikir hari ini.

DIDAKWA DAN SUDAH BERSALAH?

Perlu diingatkan, di dalam Islam seorang yang DITUDUH atau DIDAKWA adalah TIDAK BERSALAH selagi belum dibuktikan bersalah.

الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Ertinya : "Bukti diperlukan bagi sesiapa yang mendakwa dan bersumpah atau hak dibicara ke atas orang yang di dakwa" ( At-Tirmidzi, no 1261)

Ibu Qayyim berkata :

البينة في كلام الله و رسوله و كلام الصحابة اسم لكل ما يبين الحق فهي اعم من البينة في اصطلاح الفقهاء حيث خصوها بالشاهدين أو الشاهد واليمين

Ertinya : The word ‘Bayyinah' in the language of the Qur'an, of the Prophet (sws) and of his Companions (rta) is the name of everything by which the truth becomes evident. Hence contrary to its connotations in the terminology of the jurists, it has a wider meaning because they only use it for two witnesses or an oath and a witness. (I‘lamu'l-Muwwaqi‘in, 1/ 90)

Justeru, saya menyeru diri dan rakan-rakan agar mengubah sikap (jika ada) biasa yang segera mengganggap orang yang didakwa di mahkamah sebagai BERSALAH sebelum diputuskan. Walaupun saya kerap mendengar ramai yang berkata :

"Jika tiada angin masakan pokok bergoyang"

Namun bagi saya, pepatah ini perlu disemak semula penggunaannya. Sebenarnya hari ini, tanpa angin sekalipun pokok boleh bergoyang malah boleh jatuh menyembah bumi.

Iaitu dengan wujudnya budaya memfitnah dan mencipta yang bukan-bukan semakin merebak dalam masyarakat. Justeru, asal perkara yang tiada sama sekali atau kata lainnya ‘tiada angin', namun fitnah masih lagi boleh direka dan dilontar kepada sesiapa yang dikehendaki.

Kembali kepada isi pendakwaan di mahkamah, saya melihat keadaan menjadi lebih sukar apabila pihak media suka untuk menyebarkan apa jua dakwaan yang melibatkan orang politik, agama, artis dan apa jua yang dikira luar biasa.

Hasilnya, kita bimbang masyarakat sudah terdidik dengan keadaan menjadi HAKIM SEBELUM HAKIM MEMUTUSKAN dan akhirnya merosakkan diri dan orang lain di dunia dan akhirat. Disebabkan oleh sikap inilah, kerap kita lihat individu yang tertuduh terpaksa menutup muka dan wajahnya di balai polis dan mahkamah kerana bimbang masyarakat yang melihatnya SUDAH MENJATUHKAN HUKUMAN.

Adakah ini suatu fenomena yang sihat?..

tutup
 

KES JAI NETWORK & SEBARANG SKIM PERNIAGAAN ATAU PELABURAN

Dalam kes Jai network, dari sudut Shariah telah pernah saya komen dahulu. Hari ini kita ingin melihatnya dari sudut undang-undang.

Telah saya tegaskan banyak kali di web ini. Sebelum anda bertanya kepada saya dan siapa juga berkenaan hukum sesuatu skim perniagaan, dan yang seperti dengannya. Adalah terlebih baik jika anda mendapatkan pengesahan pihak berkuasa terlebih dahulu. Kerana sesuatu transaksi dan pelaburan yang menepati Shariah pada aqad dan tujuannya boleh bertukar menjadi haram apabila ia bercanggah dengan undang-undang Negara yang ‘neutral'.

Akhirnay saya juga berharap agar semua pihak yang terbabit dengan Jaitnetwork TIDAK MEMAKI HAMUN mereka di web ini kerana merasa diri tertipu atau ditipu. Ini bukan tempatnya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Wales, UK

24 Julai 2008

Berikut adalah petikan beritanya :

Suami isteri didakwa gubah wang haram RM170 juta

Oleh shamsiah zulkafli

KUANTAN 23 Julai - Pasangan suami isteri hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana menghadapi 189 pertuduhan terlibat dalam penggubahan wang haram bernilai hampir RM170 juta.

Tertuduh, Dr. Jailani Jabar, 48, dan isterinya, Dr. Latifah Taib, 47, yang tinggal di Jalan Kubang Buaya di sini didakwa melakukan perbuatan tersebut antara bulan Februari 2006 dan Oktober tahun lalu.

Jailani didakwa atas 106 pertuduhan melibatkan nilai RM98.7 juta, sementara Latifah atas 89 pertuduhan membabitkan nilai RM71.3 juta.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan yang dibacakan di tiga buah mahkamah di hadapan Hakim Jagjit Singh Bant Singh, Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain dan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad dan Saifuddin Hashim Musaini, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Sebutan kes itu berlarutan selama lebih enam jam yang bermula pada pukul 3 petang sehingga 9.30 malam.

Mengikut pertuduhan, kes-kes melibatkan pembayaran deposit dan ansuran bulanan sembilan buah kereta termasuk jenama BMW, pembelian empat buah rumah, dua buah lot rumah kedai, satu lot kilang selain transaksi kemasukan wang menggunakan akaun syarikat ke akaun peribadi masing-masing.

Kedua-dua pasangan itu didakwa menggunakan nama syarikat Jailani, Jai Network System Sdn. Bhd. dan Bagai Wangsa Sdn. Bhd. bagi menjalankan kegiatan tersebut.

Mereka didakwa mengikut Syeksen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1)(b) akta yang sama.

Selepas pertuduhan dibacakan, Dzulkifli mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Syed Azimal Amir bagaimanapun meminta mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan memandangkan harta pasangan suami isteri itu telah dibekukan sejak setahun lalu selain Jailani yang mempunyai tiga isteri lain dan 13 orang anak.

Mahkamah kemudian memutuskan Jailani diikat jamin sebanyak RM848,000, sementara Latifah sejumlah RM415,000 masing-masing dengan seorang penjamin, dengan dokumen perjalanan mereka juga perlu diserah kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos depan bagi sebutan kes di hadapan Jagjit Singh.



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites