Buku & Sebaran Ilmu : Satu Ulasan

(2 votes, average 5.00 out of 5)
 

Mari Sebar Ilmu Melalui Buku

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Segala puji bagi Allah swt, memberikan sedikit kekuatan buat saya untuk menyiapkan buku 'Formula Solat Sempurna' dan 'Wang, Anda dan Islam'. Terima kasih kepada Telaga Biru Sdn Bhd dan True Wealth Sdn Bhd yang sudi menjadi penerbit. Apatah lagi pihak telaga biru menerbitkannya dalam bentuk dan kualiti fizikal yang cemerlang. Ramai yang kagum dengan kualiti fizikal buku formula solat sempurna, diharapkan mereka turut dapat banyak manfaat dari kandungan buku tersebut.

bukuilmu.jpg

 

Melalui buku ini saya sebenarnya berharap agar dapat merapatkan sedikit jurang pembaca daripada terlalu  kosong ilmu dalam bidang ibadah solat kepada faham lebih daripada kebiasaan orang ramai.

PRESTASI JUALAN

Mulai Mac 2009, akan genaplah setahun buku 'Formula Solat Sempurna' ini di pasaran.

Jualan buku ini juga menunjukkan respon yang baik dari rakyat Malaysia. Menurut statisk yang diberikan kepada saya oleh pihak Telaga biru, jualan buku ini bermula Mac 2008 sehingga December 2008 adalah berjumlah 13,755 buah.

Jangan bimbang saya tidaklah sampai merasa ujub dan riak dengan pencepaian sederhana ini. Namun tidak dapat saya sembunyikan rasa syukur dan gembira kerana tersebarnya ilmu berkaitan solat kepada lebih ramai pembaca, lebih baik untuk akhirat saya.

Cuma saya berharap agar tergolong dalam kategori yang disebutkan Nabi s.a.w :-

  من سرته حسناته وساءته سيئاته ، فذلك المؤمن

 

Erti : Barangsiapa yang gembira dengan satu kebaikan yang dilakukan, dan berasa sempit dengan kejahatan yang dilakukan, itulah dia seorang mukmin. (Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad)

Bagi menambahkan lagi manfaat buat umat Islam, saya dan rakan telah menyiapkan terjemahan buku ini kepada bahasa inggeris, sesuai bagi pembaca yang selesa dengan rujukan Inggeris. Saya telah menghantar manuskrip English buku ini kepada pihak telaga biru, namun sudah hampir 3 minggu mereka masih memberi keputusan sama ada ingin menerbit atau tidak, buku formula solat sempurna versi English.

Jika pihak Telaga biru menolak, saya akan mula membuka peluang  kepada penerbit-penerbit lain yang berminat. Apapun, ia masih terikat dengan keputusan Telaga Biru Sdn Bhd terlebih dahulu, itu adalah berdasarkan kontrak antara kami.

KULIT BUKU

Setelah berlalu hamper setahun, saya telah meminta pihak Telaga Biru untuk mengubah reka bentuk kulit buku ini jika cetakan ketiga dibuat kelak. Paling utama, wajah saya yang begitu besar di hadapan buku perlu ditiadakan bagi mengelakkan rasa kurang selesa ketika buku ini berada di masjid dan surau.

Saya sendiri kini merasa kurang selesa apabila sebuah buku ibadah solat dihiasi gambar penulisnya dengan cukup besar. Memang dahulunya saya bersetuju dengan konsep buku ini, namun setelah difikir dengan lebih mendalam, rasa kurang selesa mula timbul. Mungkin cukup gambar kecil di sebelah belakang buku.

Namun demikian, keputusan akhir tetap di tangan pihak penerbit, kerana sebarang perubahan tentunya melibatkan kos dan masa.

BUKU WANG, ANDA DAN ISLAM

Buku sulung saya, Wang, Anda dan Islam telah genap usianya setahun pada akhir bulan Disember 2008 yang lalu.

Ia juga menunjukkan sambutan yang baik. Namun saya tidak punyai statistik lengkap dan tepat berkenaan jumlah jualannya. Apa yang pasti ia tidak sebanyak jualan buku formula solat, anggaran kasar saya mendapati jualannya sekitar 7,000 ke 9,000 naskhah sahaja yang berjaya dijual dalam tempoh setahun penerbitannya.

Versi englishnya turut berada di pasaran. Namun saya tiada maklumat berkenaan prestasi jualannya. Bagi mereka yang ingin membelinya di Malaysia, boleh membuka DI LINK INI . Adapun mereka yang berada di luar Negara dan ingin mendapatkannya, boleh membeli DI PAUTAN INI PULA .

 

Terima kasih juga kepada pihak penerbit True wealth Sdn Bhd yang sudi menerbit. Juga sudi untuk memperbaiki reka bentuk kulit hadapan buku ini.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembeli dan pembaca kedua-dua buku terawal saya ini. Yang nyata, tiada sebuah buku pun yang boleh terselamat dari kesalahan dan kelemahan kecuali Al-Quran.

Sekian, Terima kasih

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

25 Safar 1430 H

21 Feb 2009 M



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites